KUALA LUMPUR: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA’27) menyasarkan penyertaan sehingga 930 syarikat pempamer dari 36 negara, meningkat 15 peratus berbanding edisi terdahulu.
Panglima Angkatan Tentera, Datuk Seri Malek Razak Sulaiman berkata, berdasarkan sambutan awal yang diterima, LIMA’27 dijangka menghimpunkan kira-kira 60,000 pelawat perdagangan, 400,000 pengunjung awam, 450 delegasi antarabangsa mewakili 65 negara, selain penyertaan sehingga 110 pesawat dan aset udara serta 90 kapal dan aset maritim.
Katanya, setakat ini kira-kira 40 peratus ruang pameran telah ditempah dalam tempoh hanya dua bulan selepas pelancaran awal LIMA’27 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026.
“Ini membuktikan minat tinggi syarikat tempatan dan antarabangsa terhadap pameran berprestij itu.
“Momentum ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dan mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai platform pilihan bagi diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi serta penglibatan perniagaan strategik di rantau Asia Pasifik,” katanya ketika merasmikan pelancaran LIMA’27 di sini hari ini.
Teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dibacakan oleh Malek Razak.
Malek Razak berkata, LIMA’27 yang membawa tema ‘Menerajui Visi Lestari Merentasi Laut, Udara dan Angkasa’ akan memberi tumpuan kepada lapan segmen strategik.
“Ini termasuk teknologi kapal autonomi dan dron (UAV), keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), sistem persenjataan canggih, komunikasi satelit pertahanan serta bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.
“Bagi meningkatkan lagi profil antarabangsa LIMA, jemputan turut dihantar kepada empat pasukan aerobatik terkenal dunia iaitu Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusia, tertakluk kepada pengesahan penyertaan serta situasi geopolitik semasa,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran LIMA’27 turut menyokong pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang memberi penekanan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memperkukuh keupayaan negara mencapai tahap berdikari (self-reliant).
Katanya, LIMA menjadi platform strategik untuk menghimpunkan pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan kerjasama serta pemindahan teknologi.
Ujarnya, ia mempercepat pembangunan keupayaan industri pertahanan negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mengambil masa panjang.
“Kita mahu memanfaatkan teknologi sedia ada dari luar negara dan mengadaptasikannya bersama industri tempatan supaya sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus kandungan tempatan dapat diterapkan dalam setiap perolehan atau pembangunan aset pertahanan.
“Sebab itu LIMA penting kerana ia menghimpunkan semua pemain industri di bawah satu bumbung untuk berbincang mengenai peluang kerjasama yang dapat menyokong matlamat DIPN,” katanya. – UTUSAN










