LIMA’27 pacu pertahanan berteraskan inovasi, teknologi

LIMA’27 pacu pertahanan berteraskan inovasi, teknologi

MALEK Razak Sulaiman (tengah) dan Lokman Hakim Ali (enam kanan), pengerusi bersama pameran LIMA’27 semasa bergambar bersama rakan-rakan strategik di majlis pelancaran semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) mengangkat tema ‘Menerajui Visi Lestari Merentasi Laut, Udara dan Angkasa’ dalam memperkukuh sektor pertahanan negara berteraskan teknologi masa hadapan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang merupakan pengerusi bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, menyatakan komitmen Malaysia dalam memastikan pembangunan pertahanan dan keselamatan Negara kekal berdaya tahan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Semasa membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau menjelaskan bahawa LIMA telah berkembang menjadi platform strategik bagi diplomasi pertahanan, inovasi teknologi, kerjasama industri serta peluang ekonomi antarabangsa.“LIMA’27 memberi tumpuan kepada lapan segmen strategik termasuk kapal autonomi dan pesawat tanpa pemandu (UAV), keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).

“Segmen utama LIMA’27 mencerminkan komitmen Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan melalui inovasi, pembangunan industri tempatan, teknologi dan kerjasama antarabangsa.

“Perkembangan itu turut membuktikan keyakinan dunia terhadap Malaysia serta mengukuhkan LIMA sebagai platform penting diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi dan jaringan perniagaan strategik,” katanya pada Majlis Pelancaran LIMA’27 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

LIMA’27 dijangka menghimpunkan 930 syarikat pempamer dari 36 negara, selain menerima lebih 60,000 pelawat perdagangan dan 400,000 pengunjung awam.

Seramai 450 delegasi antarabangsa mewakili 65 negara juga bakal menghadiri pameran itu selain pameran kira-kira 110 pesawat dan aset udara serta 90 kapal tentera laut dan aset maritim.

Malek Razak berkata, sambutan diterima sejak pelancaran awal LIMA’27 pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026, April lalu amat memberangsangkan dengan kirakira 40 peratus ruang pameran telah ditempah dalam tempoh dua bulan daripada pelbagai syarikat dalam dan luar negara.

Sementara itu, Lokman Hakim berkata, LIMA’27 akan menampilkan empat pasukan aerobatik bertaraf dunia dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Rusia.

Katanya, LIMA’27 turut menjadi platform untuk memperkenalkan aset pertahanan masa depan yang bersesuaian dengan landskap peperangan moden termasuk ancaman asimetri.

“Pameran itu membolehkan negara mengenal pasti teknologi dan aset terkini yang mampu memperkukuh keupayaan pertahanan negara selain menjadi medan memperkasakan diplomasi pertahanan dan meningkatkan literasi pertahanan dalam kalangan rakyat melalui penyertaan pelbagai negara.

“Selain itu LIMA’27 juga akan menjadi pentas mempamerkan beberapa aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diperoleh sebelum ini.

“Ia membabitkan pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S Medium Altitude Long Endurance (MALE) serta Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan MINDEF, Mohd. Nizam Mohd. Khir berkata, penganjuran LIMA’27, penting dalam merealisasikan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), khususnya dalam memperkukuh pembangunan industri pertahanan tempatan menerusi pemindahan teknologi, pelaburan asing dan kerjasama strategik.

Katanya, LIMA’27 dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menjalin kerjasama dengan syarikat pertahanan antarabangsa sama ada melalui usaha sama, model perniagaan baharu mahupun penubuhan fasiliti industri. pertahanan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN