PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diajak beramai-ramai untuk turun bersolidariti kepada perjuangan rakyat Palestin bersama 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel baru-baru ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam esok.
Himpunan solidariti bersama Gaza atas nama Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka itu akan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi antara pemimpin dunia paling lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Anwar berkata, Himpunan Solidariti Bersama Gaza itu akan menjadi pentas menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama para wira dan wirawati yang baru pulang selepas ditahan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
“Saya yakin dan percaya bahawa dalam denyut nadi setiap anak Malaysia, tersemat tekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.
“Marilah kita berganding bahu dan bergerak sederap, mengangkat suara demi Palestin yang merdeka, bermaruah dan berdaulat. Ketemu esok malam, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman yang kini dalam perjalanan pulang ke tanah air juga menyatakan kehadirannya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza.
Katanya, beliau dan rakan-rakan lain yang menyertai misi kemanusiaan GSF akan berada di lokasi untuk menyampaikan mandate dan pesanan selepas dua tahun Gaza dibadai dengan genosid.
“Ya, hari ini 7 Oktober bermakna sudah dua tahun mereka dibunuh. Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” katanya.
Seramai 23 delegasi Global Sumud Flotilla dari Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas menamatkan misi kemanusiaan ke Gaza dan melalui tempoh getir ketika ditahan oleh rejim Zionis.
Kesemua aktivis Malaysia telah dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan dan kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Türkiye, serta sokongan Kerajaan Türkiye.
Delegasi dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sekitar jam 10 malam ini.-UTUSAN










