KUALA LUMPUR : Tindakan licik satu sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut akhirnya tumpas selepas 18 individu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur, pada 10 Oktober lalu.
Turut ditahan iaitu lima terdiri empat lagi warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan juga ejen membawa masuk PATI tersebut.
Penahanan itu dilakukan oleh pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Briged Tengah susulan kejadian rempuhan di lorong Tol Telok Panglima Garang, Selangor.
Komander PGA, Senior Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata, serbuan pertama telah dilakukan di Jalan Pulau Carey berhampiran Pos PGA pada pukul 3 pagi.
Katanya, hasil serbuan di lokasi, seorang lelaki Indonesia telah ditahan bersama sebuah kereta jenis Toyota Vios dan telefon bimbit.
“Hasil penahanan itu, telah membawa kepada serbuan di Plaza Tol Smart Teluk Panglima Garang, Banting pada pukul 4.30 pagi namun tiada tangkapan dilakukan dan hanya berjaya merampas sebuah kereta Toyota Fortuner disyaki digunakan membawa PATI.
“Serbuan turut dilakukan di Kampung Nagsyabandiah, Jalan Semenyih, Kajang pada pukul 3 petang sebelum menahan tujuh individu terdiri enam lelaki dan seorang perempuan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di PGA , Cheras di sini hari ini.
Tambahnya, kemudian, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia pula ditahan di hentian rehat dan rawat (R&R) Kampung Bemban, Melaka, manakala enam lagi termasuk dua wanita juga warga Indonesia ditahan di sekitar Rawang, Selangor.
“Seorang lelaki warga tempatan kemudian ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira pukul 6 pagi keesokannya (Sabtu),” ujarnya.
Jelas beliau, dipercayai kesemua tangkapan ini melibatkan satu rangkaian sindiket sama yang membawa masuk PATI melalui jalan laut dan aktif di waktu malam.
“Sindiket disyaki turut aktif di media sosial menawarkan khidmat menyeludup PATI dengan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,500 setiap seorang,” ujarnya.
Tegasnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada IPD Kajang dan usaha mengesan saki-baki suspek masih giat dijalankan.
“Saya seru kepada masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang kegiatan jenayah,” ujarnya.










