PETALING JAYA: Pelakon, Faye Kusairi mendedahkan sebuah syarikat pengurusan milik seorang individu berstatus Datuk masih belum melunaskan bayaran bagi tugasan yang telah diselesaikannya sejak sebulan yang lalu.
Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 39, berkata, dia terpaksa membuka mulut mengenai perkara itu selepas pihak terbabit terus berdiam diri dan gagal menepati janji untuk membuat pembayaran penuh seperti yang telah dipersetujui.
Menurutnya, tunggakan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan penggambaran mana-mana drama termasuk drama bersiri lakonan terbarunya iaitu Bidadari Tanpa Syurga, sebaliknya berkaitan dengan satu projek kempen yang sudah disiapkannya sebulan lepas.
“Buat masa sekarang saya masih bagi muka dan belum mahu mendedahkan identiti mereka. Tetapi, kalau mereka masih tidak bayar juga, saya sendiri akan keluarkan nama individu serta nama syarikat kempen berkenaan.
“Sebelum ini mereka ada memohon maaf dan berjanji akan menyelesaikan bayaran tersebut selewat-lewatnya pada hari ini. Namun, selepas waktu solat Jumaat tadi pun mereka masih senyap dan langsung tidak memberikan sebarang jawapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Faye mendedahkan isu kelewatan bayaran daripada dana yang didakwa sudah dilepaskan itu turut melibatkan beberapa rakan artis lain yang juga berang dengan situasi sama.
Mengenai tindakan susulan, dia merancang untuk membawa isu tersebut kepada pihak pengurusan artis dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkaitan bagi mendapatkan pandangan sewajarnya.
“Selepas ini saya akan bercakap dengan pihak pengurusan artis untuk memaklumkan apa yang berlaku sebelum saya terbang ke Brunei pada hari Isnin. Sementara itu, seorang lagi pelakon yang terlibat memberitahu dia mahu pergi membuat aduan terus ke FINAS,” katanya.
Untuk rekod, Faye cukup dikenali menerusi wataknya sebagai Syakila dalam 7 Hari Mencintaiku yang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Shukri Yahya dan Siti Saleha. – UTUSAN










