Peserta GSF dipaksa berlutut 5 jam, tangan bergari kerana laung 'Free Palestine'

Peserta GSF dipaksa berlutut 5 jam, tangan bergari kerana laung ‘Free Palestine’

TANGKAP layar menerusi video yang tular di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menjadi tahanan rejim Zionis dipaksa berlutut dengan tangan bergari selama sekurang-kurangnya lima jam selepas sebahagian mereka melaungkan ‘Free Palestine’ ketika lawatan Menteri Dalam Negeri, Itamar Ben-Gvir di Pelabuhan Ashdod.

Pada masa sama, keberadaan peserta GSF juga disembunyikan selama lebih sembilan jam apabila pasukan peguam yang dilantik mewakili sukarelawan ditinggalkan menunggu di luar Pelabuhan Ashdod.

Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel, ADALAH dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, tindakan itu merupakan suatu penghinaan dan intimidasi terhadap peserta GSF yang ditahan.

Katanya, ketika lawatan Ben-Gvir itu, peserta GSF yang ditahan, dirakam dan dieksploitasi dengan menjatuhkan maruah mereka bagi menunjukkan kekuasaan.

“Tindakan penghinaan begini berlaku ketika Israel sedang menyebarkan fitnah dengan melabelkan peserta flotilla sebagai ‘pengganas’ dalam usahanya untuk menafikan misi aman dan menghalalkan tindakan represif yang digunakan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan malam semalam.

Menurutnya, hak-hak peserta GSF dinafikan secara sistematik sepanjang proses penahanan tersebut termasuk hak untuk mendapatkan akses minuman, ke tandas dan perubatan.

Katanya, peserta juga dinafikan akses kepada peguam sekali gus melanggar hak asasi manusia untuk mendapatkan proses perundangan dan perbicaraan yang adil.

“Semalam (kelmarin), ketika keberadaan sukarelawan flotilla tidak diketahui, peguam telah ditinggalkan menunggu selama kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod. Kami tidak dimaklumkan apabila pihak imigresen Israel mula memproses dan mengadakan perbicaraan, sehinggalah tahanan sendiri menghubungi secara langsung.

“Walaupun berulang kali dinafikan masuk oleh polis Israel, akhirnya peguam ADALAH berjaya memasuki pelabuhan dan memberikan konsultasi kepada 331 peserta tersebut.

“Beberapa peserta melaporkan bahawa mereka telah mengalami paksaan, ancaman dan gangguan termasuk dibangunkan secara kasar setiap kali mereka cuba tidur,” katanya.

Agensi itu berkata, dalam tempoh 24 selepas ditahan, pihaknya telah bertemu dengan 331 peserta GSF di Pelabuhan Ashdod ketika mereka sedang berdepan dengan prosiding pihak berkuasa Imigresen Israel.

Katanya, beberapa peserta telah pun diproses tanpa konsultasi pihaknya kerana barisan peguamnya telah dinafikan akses pada permulaannya.

“Proses ini berlaku selepas kapal flotilla ditunda secara paksa akibat pintasan haram di perairan antarabangsa apabila berpuluh-puluh kapal ditahan dalam misi memecahkan kepungan di Gaza ketika genosid, kekejaman besar-besaran dan kebuluran sedang berleluasa,” katanya.

Menurut agensi itu, semua peserta dpindahkan dari Pelabuhan Ashdod ke Penjara Ktzi’ot di Naqab (Negev) dan memulakan perbicaraan tribunal tanpa memaklumkan pasukan peguam.

“Ia berlangsung sepenuhnya tanpa perwakilan undang-undang. Peguam ADALAH kini berada di perbicaraan tribunal, di mana perintah tahanan sedang disemak.

“ADALAH sedang mengambil langkah undang-undang untuk memastikan setiap peserta dapat dijejaki, di samping meneruskan lawatan ke penjara.

“ADALAH juga menuntut pembebasan segera mereka daripada penahanan haram ini serta pemulangan barang-barang peribadi dan bekalan bantuan kemanusiaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN