Pesakit pendarahan otak pulang selepas sebulan dirawat

Pesakit pendarahan otak pulang selepas sebulan dirawat di Vietnam

MOHAMAD Basri Ibrahim dibawa turun daripada ambulans untuk dibawa pulang ke Malaysia di lapangan terbang Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam.-IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Selepas genap sebulan menerima rawatan di Vietnam, pesakit pendarahan otak, Mohamad Basri Ibrahim, 49, dibawa pulang ke tanah air dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 7 petang kelmarin.

Kakitangan Jabatan Veterinar Jerantut itu tiba menaiki pesawat Vietnam Airlines VN679 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat ditemani kakaknya, Norainun Ibrahim, 57, dan sepupunya, Azira Dzulkifli, 44, serta diiringi pasukan perubatan dari Malaysia.

Sebaik sahaja tiba di KLIA, Mohamad Basri disambut keluarganya dan terus dibawa dengan ambulans khas ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, dekat sini untuk rawatan susulan.

Isterinya, Nurul Husna Abd. Hamid, 39, berkata, dia bersyukur melihat suaminya selamat tiba ke Malaysia.

“Syukur atas kepulangan suami sekali gus meredakan kebimbangan saya yang kini hamil anak pertama dan dijangka lahir pada penghujung Disember ini,” katanya di Kampung Temin di sini, semalam.

Utusan Malaysia pada 21 September lalu melaporkan,  keluarga mangsa memohon bantuan kewangan setelah Mohamad Basri menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital swasta di Ho Chi Minh apabila tiba-tiba rebah selepas melawat ibu negara Vietnam bersama 25 ahli keluarganya.

Doktor hospital swasta di Ho Chi Minh mengesahkan Mohamad Basri mengalami pendarahan pada batang otak dan pembedahan dilakukan mengeluarkan darah serta menjalani rawatan fisioterapi sehingga keadaannya beransur pulih.

Nurul Husna berkata, dia reda dengan kejadian itu dan sering berdoa supaya penyakit suaminya pulih dan dapat bersama mendengar tangisan cahaya mata sulung mereka apabila dia bersalin nanti.

Sementara itu, Norainun berkata, semua urusan pembayaran hospital sudah selesai yang membolehkan Mohamad Basri dibenarkan pulang ke Malaysia. 

“Inilah pengalaman sukar yang tidak dapat dilupakan seumur hidup apabila pada awalnya kami sekeluarga gembira melancong, tetapi tidak menyangka atas ketentuan Allah, adik saya diserang penyakit tersebut.

“Saya dan sepupu mengambil tanggungjawab menjaga Mohamad Basri genap sebulan. Saya berterima kasih kepada pegawai di Konsulat Malaysia yang banyak membantu kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN