PETALING JAYA: “Tidak lama lagi, InsyaAllah. Tapi saya sudah bersumpah tidak boleh kongsikan.”
Demikian kata abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dollah, mengenai perancangan perkahwinan adiknya dengan penyanyi, Bella Astillah.
Menurut Dollah, dia telah berjanji untuk tidak mendedahkan sebarang perkembangan berkaitan perkara itu, sekali gus mengakui ia merupakan antara permintaan yang sukar untuk dipenuhi.
“Sayalah orang yang paling tidak pandai kalau mahu ‘cover’ cakap. Saya sudah bersumpah untuk tak kongsikan, jadi saya pegang kepada sumpah itu.
“Saya rasa kita kena fokuskan pada apa yang akan berlaku 30 hari bulan ini (tarikh keputusan mahkamah).
“Jika segalanya berjalan lancar, berita gembira akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
Dollah berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat buat Syed Saddiq di Madrasah Hajjah Zubaidah, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dollah berkata, tumpuan utama keluarga ketika ini adalah menghadapi keputusan rayuan yang akan diumumkan pada 30 Jun ini.
Mengulas keadaan Syed Saddiq, Dollah berkata, adiknya itu kekal tenang dan tidak pernah memperlihatkan kebimbangan kepada ahli keluarga.
“Kami baru sahaja balik daripada ‘mini holiday’ sambil bekerja, dan dia tidak kelihatan seperti dia risau. Tetapi macam saya katakan sebelum ini, Saddiq ni adalah seseorang yang tidak suka kongsikan emosi dia sangat.
“Dia macam abang saya pula, cuma itulah, dalam hatinya siapa yang tahu. Cuma di mata saya dia nampak sangat kuat.
“Kami sekeluarga kuat cuma mungkin mama tidak seberapa, memang dari dulu agak beremosi.
“InsyaAllah segalanya akan berjalan lancar, secara peribadi saya terhutang budi kepada Saddiq dan akan buat apa sahaja yang termampu.Sama-sama kita doakan insya-Allah semua akan okey.
“Tapi Saddiq sudah buat persiapan untuk sebarang kemungkinan. Apa-apa yang akan berlaku, kita semua akan bersama dengan dia,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh penyampaian keputusan rayuan akhir Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman terhadap empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). -UTUSAN










