KUALA TERENGGANU: Pasukan ragbi Terengganu enggan mensia-siakan peluang menamatkan kemarau Kejuaraan Ragbi Piala Agong selama tujuh tahun apabila berdepan Johor di pentas akhir di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor, esok.
Terengganu pertama kali melakar sejarah merangkul kejuaraan kejohanan berkenaan pada 2019.
Namun pasukan bimbingan Hafiizh Zainal itu menyedari Johor yang mara ke perlawanan akhir dua edisi lalu berturut-turut bukan lawan mudah untuk ditumbangkan.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua finalis ini bertembung di pentas akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong adalah pada 2017 setelah Johor menafikan Terengganu di laman sendiri dengan keputusan 32-29.
Johor juga sudah dua kali dinobat sebagai juara iaitu pada edisi 2013 dan 2017.
Menambah rencah perlawanan akhir ini adalah kedua-dua pasukan mara dengan rekod tanpa kalah sepanjang kempen musim ini.
Hafiizh yang pertama kali diberi kepercayaan membimbing pasukan negeri kelahirannya berkata, situasi perlawanan akhir pasti sengit seawal minit pertama perlawanan.
“Johor hadir dengan reputasi besar dan kelebihan tersendiri berbanding kami yang bermula selaku pasukan bukan pilihan untuk musim ini.
“Saya menjangkakan tekanan buat kedua-dua pasukan seawal minit pertama permainan. Sudah tentu setiap pasukan mempertaruh taktikal berbeza untuk perlawanan akhir,” katanya.
Menurut Hafiizh, Terengganu berada pada tahap terbaik untuk turun beraksi di pentas akhir tanpa sebarang kekangan yang mampu merencatkan taktikal pasukan pada edisi ke-42 ini.
Dalam penentuan separuh akhir minggu lalu, Terengganu membuat kejutan setelah menyingkirkan PDRM selaku juara bertahan tiga kali berturut-turut manakala Johor mengatasi cabaran Kelantan untuk mengesahkan penampilan ketiga berturut-turut di pentas akhir. – UTUSAN










