KOTA TINGGI: Tiga individu berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan seekor gajah sedang melintas di Kilometer 49, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 10.50 malam, ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju Mersing.
“Siasatan awal mendapati seekor gajah melintas jalan dari arah kanan secara tiba-tiba, sebelum kenderaan dinaiki tiga individu merempuh haiwan tersebut kerana tidak sempat mengelak.
“Pemandu lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama dua penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Yusof, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka dan berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan sebuah kenderaan merempuh seekor gajah yang sedang melintas jalan pada waktu malam.-UTUSAN










