PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menganggap ketiadaan bantuan kempen daripada rakan komponen Perikatan Nasional (PN), termasuk Pas sebagai isu besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, walaupun secara prinsipnya PN sepatutnya mengamalkan kerjasama dan saling membantu antara parti komponen, namun perkara itu tidak menjadi halangan kepada gerak kerja jentera parti.
“Saya tidak minta siapa yang mahu bantu. Siapa yang mahu bantu, silakan. Kalau ada rakan yang tidak bantu, tak apalah. Kita terima.
“Walaupun daripada segi prinsipnya PN patut ada saling membantu, tapi kalau ada yang tidak mahu bantu, kita terima dan kita teruskan kerja dengan kekuatan yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, PN kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan komponen termasuk Pas dalam membantu kempen calon di kawasan terlibat.
Katanya, pengundi akan menilai sendiri kekuatan dan tawaran yang dibawa PN berdasarkan rekod serta dasar diperjuangkan gabungan itu.
Mengenai keputusan Bersatu tidak bertanding di kerusi Endau, Muhyiddin berkata, setiap kawasan perlu dinilai berdasarkan potensi kemenangan dan perubahan landskap politik setempat.
“Bila calon lama sudah berhijrah ke parti lain, kita kena nilai semula. Kalau calon baharu tak berpotensi menang, kita tidak bertanding. Itu biasa dalam strategi politik,” katanya.-UTUSAN










