GOPENG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah membuka 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) bagi buah-buahan bermusim di seluruh Perak bagi menangani lambakan durian ketika ini.
Pengarah Fama Perak, Azleena Zainal Abidin berkata, pembukaan PPS itu bertujuan memudahkan proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran hasil buah-buahan khususnya bagi durian.
“Fama negeri Perak turut memperluaskan rangkaian pemasaran durian melalui Program Jualan Agro MADANI, Agrobazaar, jualan di pejabat-pejabat kerajaan, kawasan perumahan serta pelbagai lokasi jualan strategik di seluruh negara.
“Inisiatif ini membolehkan pengguna mendapatkan durian segar yang berkualiti pada harga berpatutan di samping membantu usahawan memasarkan hasil mereka dengan lebih pantas, sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Jualan Mega Agro MADANI di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Menurutnya, Fama turut mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti pemprosesan pes durian sebagai salah satu strategi pemasaran dan penambahan nilai.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pekebun memasarkan durian kampung yang sukar dijual dalam bentuk segar selain mengurangkan kerugian akibat lebihan hasil.
“Melalui pemprosesan ini, durian dapat dihasilkan sebagai pes berkualiti yang mempunyai jangka hayat simpanan lebih panjang dan berpotensi dipasarkan kepada industri pemprosesan makanan, bakeri, pencuci mulut serta pasaran eksport,” katanya.
Ujarnya, sepanjang tempoh 9 Jun hingga 21 Jun lalu, FAMA Perak telah berjaya membantu memasarkan sebanyak 1,126 tan metrik durian dengan nilai jualan mencecah RM3,383,600.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan jaringan pemasaran kami dalam memastikan hasil durian tempatan dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien sekali gus mengurangkan lambakan hasil di peringkat ladang dan memastikan pengusaha memperoleh pulangan yang lebih baik.
“Kami komited memperkukuhkan kerjasama strategik bersama usahawan, pengumpul, pemborong, peruncit serta agensi-agensi berkaitan bagi memperluaskan akses pasaran hasil pertanian tempatan,” katanya. – UTUSAN










