PUTRAJAYA: Trend jumlah pesakit kanser payudara di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sejak 2007 dengan lonjakan tertinggi direkodkan dalam tempoh 2017 hingga 2021 iaitu sebanyak 29,534 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan statistik kementerian, sebanyak 18,206 kes direkodkan bagi tempoh 2007 hingga 2011, diikuti 21,634 kes antara 2012 hingga 2016, manakala bagi tahun 2022 hingga 2023, sejumlah 12,820 kes dicatatkan.
“Kanser payudara adalah kanser utama di kalangan wanita di Malaysia antara 2022 hingga 2023 dengan ASR (age-standardized rate) 38.1 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Lebih membimbangkan, 50.5 peratus kes kanser payudara dikesan hanya selepas pesakit berada di tahap tiga dan empat, menunjukkan kelewatan pengesanan pada peringkat awal,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 di sini hari ini.
Sejajar dengan sambutan Pink October di peringkat kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM) menganjurkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 dengan tema ‘Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa’ yang selari dengan tema Hari Kanser Sedunia 2025 – 2027 iaitu Penyatuan Dalam Keunikan yang menekankan usaha melawan kanser payudara adalah melalui penyatuan dan kerjasama semua pihak.
Smeentara itu, menerusi ucapannya, Dzulkefly berkata, KKM mensasarkan sekurang-kurangnya 20,000 wanita berumur 30 tahun dan ke atas untuk menjalani saringan sepanjang bulan Oktober hingga Disember melalui aktiviti – aktiviti saringan yang telah diatur.
Jelasnya, antara aktiviti saringan itu termasuk lah pemeriksaan klinikal payudara untuk wanita di Ibu Pejabat KKM yang berumur 30 tahun hingga 60 tahun atas, khususnya golongan B40 beserta rujukan mammogram secara percuma.
Selain itu, katanya, terdapat saringan Kanser Payudara Komuniti di 83 lokasi seluruh negara termasuk 20 hospital panel Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di 12 buah negeri, jelajah saringan mamogram menggunakan treler Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di lokasi terpilih serta program saringan komprehensif yang turut merangkumi kanser kolorektal, serviks, prostat dan paru-paru.
“Inisiatif-inisiatif ini akan memperluas capaian saringan kanser payudara, meningkatkan pengesanan awal dan seterusnya membolehkan rawatan awal dimulakan yang bukan sahaja akan
menyelamatkan nyawa malah meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi antara KKM, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, media dan komuniti bukan sahaja dapat memperluas capaian saringan dan rawatan, malah menyokong sasaran Global Breast Cancer Initiative iaitu meningkatkan kesedaran, pengesanan awal, diagnosis tepat pada masanya dan rawatan komprehensif untuk pesakit. – UTUSAN










