JOHOR BAHRU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor penting bagi membolehkan gabungan itu kembali mentadbir negara sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan BN di Johor akan mewujudkan gelombang kebangkitan positif sehingga ke PRN Negeri Sembilan dan juga PRN Melaka.
“Johor akan jadi penanda aras kepada pilihan raya selanjutnya, seminggu selepas Johor, PRN Negeri Sembilan pula akan bermula. Insya-Allah kemenangan di Johor akan turut memanifestasi kemenangan BN di tempat lain.
“Selepas itu kita berarak pula ke Melaka, Insya-Allah kemenangan di Negeri Sembilan juga akan menular ke Melaka. Di Sarawak kita menghormati kerajaan negeri, jadi tidak letak calon bertanding.
“Selepas itu PRU ke-16, sekali lagi BN akan akan diuji. Maka kemenangan pada tiga negeri ini diharap akan memberi semangat baharu kepada kepimpinan dan Jentera BN di seluruh negara untuk kita berada di persada politik baharu di peringkat nasional, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat di Kempas, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, pihaknya perlu bekerja keras bagi memastikan perkara itu menjadi realiti dan bukan sebaliknya hanyalah angan-angan sahaja.
“Cuma tinggal seminggu sahaja lagi, segalanya akan bermula di Johor. Saya ada keyakinan sekiranya kita kerja kuat, ikhlas dan santuni semua pengundi, kemenangan akan berpihak kepada calon-calon kita,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu momentum kempen BN pada PRN Johor ini semakin meningkat selepas tujuh hari berkempen sejak Hari Penamaan Calon pada 27 Jun lalu.
“Alhamdulillah, momentum kempen semakin meningkat. Walaupun kita dibebani dengan kehadiran rakan-rakan kita di gelanggang politik di Johor ini, namun isu-isu yang dibangkitkan mereka telah disantuni dengan sebaik-baiknya.
“Walaupun ada individu tertentu yang memainkan isu-isu lama, termasuklah melibatkan Datuk Seri Najib Razak, saya tidak fikir itu memberikan kesan yang banyak di Johor. Saya fikir janganlah memainkan isu-isu yang tidak ada kaitan dengan negeri ini.
“Nasihat saya kepada mereka, jadilah lebih profesional walaupun kita berbeza pandangan mengenai sesuatu isu itu. Hentikan bawa isu yang tidak berkaitan,” katanya selepas diminta mengulas mengenai perjalanan kempen dan serangan dibuat pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap BN.-UTUSAN










