Berlakon dengan Nabila Huda ibarat mimpi jadi realiti - Hun Haqeem - Utusan Malaysia

Berlakon dengan Nabila Huda ibarat mimpi jadi realiti – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Pelakon, Hun Haqeem menyifatkan peluang bergandingan dengan Nabila Huda menerusi drama bersiri Viu Original, Cela, sebagai satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 28, kesempatan berkongsi set penggambaran bersama aktres berpengalaman itu merupakan antara detik paling bermakna sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan.

“Boleh saya katakan, dapat berlakon dan bekerjasama dengan Nabila Huda ibarat mimpi menjadi realiti. Saya memang tidak sangka dan tidak pernah menjangka peluang itu akhirnya tiba.

“Dia seorang pelakon yang sangat hebat dan saya berharap kami dapat bergandingan sekali lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Cela di Hulu Langat, baru-baru ini.

Mengulas pengalaman sepanjang penggambaran, Hun berkata, perasaan gementar yang dijangkakan sebelum bertemu Nabila ternyata tidak berlaku apabila aktres itu memiliki personaliti yang mesra dan mudah didekati.

“Perasaan takut itu tidaklah begitu kuat kerana apabila berjumpa dengannya, dia seorang yang sangat mudah membuatkan orang di sekeliling berasa selesa.

“Saya juga melihat dia sangat mesra dan sering bergelak ketawa bersama kru serta pasukan produksi. Sikap itu membuatkan saya semakin mengaguminya,” katanya.

Dalam pada itu, Hun berkata, keserasian antara mereka di hadapan kamera terjalin secara semula jadi, sekali gus memudahkan proses menjayakan setiap babak.

“Dari segi lakonan, sangat mudah untuk kami mencari keserasian. Agak sukar untuk saya jelaskan bagaimana itu berlaku, tetapi mungkin disebabkan kami selesa antara satu sama lain, jadi chemistry itu hadir secara semula jadi.

“Setiap adegan yang kami jayakan terasa lebih mudah, ditambah pula dengan bimbingan pengarah, Feroz Kader yang banyak membantu kami sepanjang penggambaran,” katanya.

Selain Hun dan Nabila, drama Cela turut dibintangi Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati serta barisan pelakon lain. Drama terbitan Viu Original itu dijadualkan menemui penonton bermula Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN