GEORGE TOWN : Tiga lelaki warga China masing-masing didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah kerana berjudi di sebuah rumah perjudian terbuka di Gelugor di sini, minggu lepas.
Tertuduh, Gao Yue, 25; Ma Wenlyu, 32, dan Ma Yucheng, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Said.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama bermain judi di sebuah premis di 1B-22, The Light Collection 1, Jalan Pantai Sinaran, Gelugor pada pukul 4.30 petang, 26 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala ketiga-tiga tertuduh pula diwakili peguam, K. Mahendran dan Sharmila Mogan.
Ketika prosiding, Ahmad Danial memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap mereka, namun, Sharmila mahu hukuman ringan diberikan dengan mengambil kira kesalahan itu sebagai kesalahan pertama selain kesemua tertuduh juga sudah menyesal dan mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.
Selain itu, katanya, ketiga-tiga tertuduh yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 juga perlu menanggung ibu bapa serta keluarga masing-masing di negara asal.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 terhadap setiap tertuduh dan jika gagal membayar denda itu, mereka boleh dipenjarakan selama enam bulan.-UTUSAN










