PETALING JAYA: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menumpaskan siindiket memproses minuman keras dan cubaan menyeludup masuk produk tembakau dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.
Timbalan Pengarah Kastam (Perkastaman) Kuala Lumpur, Noraidah Ishak berkata, kes pertama pada 20 Mei lalu melibatkan dua serbuan gudang di Jalan Wangsa Utama dan Taman dan Taman Wangsa Permai, Kuala Lumpur.
Menurutnya, operasi kira-kira pukul 12 tengah hari itu berjaya menemukan sejumlah 4,987 liter minuman keras yang ditampal dengan setem cukai palsu.
“Pasukan serbuan turut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membotolkan minuman keras termasuk tong berisi bancuhan kimia disyaki etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan, mesin pemasang penutup botol serta pelekat label tiruan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM278,531 dengan anggaran duti dan cukai sebanyak RM672,669.00 menjadikan jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM951,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan premis gudang yang terletak di kawasan tersorok dan jauh daripada penempatan penduduk bagi menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembotolan minuman keras palsu.
Tambahnya, dua lelaki warga asing telah ditahan dan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.
“Dalam kes berlainan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur telah menahan satu kontena yang dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Selatan pada 14 Mei lalu.
“Pemeriksaan menemukan sejumlah 5,449 kilogram produk tembakau kunyah disyaki tak berkastam di mana pengimportannya tertakluk kepada lesen import di bawah Butiran 66, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM944,944 manakala anggaran duti dan cukai ialah RM677,551.00 menjadikan nilai keseluruhan ialah RM1.6 juta. Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










