PETALING JAYA: Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 dilanjutkan sehingga 27 Oktober ini bagi memberi lebih masa kepada pengundi yang layak untuk membuat permohonan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pelanjutan itu melibatkan dua kategori pemohon iaitu Kategori 1B, warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C melibatkan agensi serta organisasi tertentu.
“SPR ingin memaklumkan tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan Kategori 1C (agensi atau organisasi) dilanjutkan hingga 27 Oktober 2025 (Isnin),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan lebih ramai pengundi berpeluang menunaikan tanggungjawab mereka khususnya mereka yang berada di luar negara atau bertugas di bawah agensi dan organisasi berkaitan.
Katanya, permohonan undi pos boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my sehingga tarikh tutup yang ditetapkan.
“SPR menasihatkan agar semua pemohon membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan menjelang tarikh tutup.
“Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pengundi boleh menghubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7018,” katanya.
Sebelum ini, SPR menetapkan 15 November sebagai tarikh penamaan calon, 25 November bagi pengundian awal dan 29 November sebagai hari pengundian.
Menurut daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025, seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis termasuk pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA). – UTUSAN










