PRN N. Sembilan: 13,263 kertas undi pos dikeluarkan hari ini

PRN N. Sembilan: 13,263 kertas undi pos dikeluarkan hari ini

KHAIRUL SHAHRIL IDRUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 13,263 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada individu yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dibuat kepada individu yang berhak mengundi secara pos seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 12,669 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.

“Sebanyak 343 kertas undi pos pula dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara di bawah Kategori 1B.

“Manakala sebanyak 251 kertas undi pos dikeluarkan kepada pegawai bagi Kategori 1C daripada 11 agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Shahril, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Negeri berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian, 1 Ogos ini.

“Pengundi juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN