Permintaan domestik diunjur berkembang 5.8 peratus separuh kedua tahun ini - Utusan Malaysia

Permintaan domestik diunjur berkembang 5.8 peratus separuh kedua tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN domestik diunjur berkembang 5.8 peratus pada separuh kedua tahun ini, selepas meningkat 6.5 peratus pada separuh pertama 2025, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.

Jelasnya, prestasi itu akan didorong oleh peningkatan perbelanjaan sektor swasta yang dijangka berkembang 6.1 peratus sepanjang 2025, menyumbang 4.7 mata peratusan (ppt) kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sementara itu, perbelanjaan sektor awam diunjur meningkat 6.3 peratus, menyumbang sekitar 1.1 ppt kepada pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara.

“Pada separuh pertama 2025, penggunaan swasta berkembang 5.2 peratus dan dijangka mengekalkan momentum dengan pertumbuhan tahunan lima peratus.

“Perbelanjaan isi rumah dijangka terus disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna hasil daripada aktiviti ekonomi domestik yang berterusan, pasaran buruh yang positif serta tekanan inflasi yang semakin reda.

“Pendapatan isi rumah turut mendapat dorongan melalui pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta pelaksanaan kadar gaji minimum lebih tinggi, pemberian Penghargaan SARA RM100 secara sekali bayar (one-off) dan peluasan inisiatif di bawah Payung Rahmah,” katanya.

Tinjauan itu berkata, pelaburan swasta pula menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan 10.6 peratus pada separuh pertama 2025 dan diunjur mengekalkan momentum dengan pertumbuhan 10 peratus bagi keseluruhan tahun.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun hasil pelaburan diluluskan yang tinggi seperti pada 2023 sebanyak RM329.5 bilion dan 2024 (RM384.4 bilion) serta aliran masuk modal kukuh dalam projek semikonduktor strategik, khususnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Melalui Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), sebanyak RM11 bilion pelaburan telah digerakkan dalam projek pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) sehingga Jun 2025.

“Selain itu, peluasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) serta penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini. Pelaksanaan dasar strategik nasional turut menyokong trajektori pertumbuhan pelaburan swasta pada tahun mendatang,” ujarnya.

Bagi sektor awam, penggunaan awam berkembang 5.3 peratus pada separuh pertama 2025 dan dianggarkan meningkat sederhana empat peratus bagi keseluruhan tahun.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh perbelanjaan emolumen yang lebih tinggi susulan pelaksanaan SSPA serta peningkatan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kerajaan turut menzahirkan komitmen terhadap tadbir urus dan ketelusan menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 bagi memperkukuh prinsip nilai untuk wang dalam proses perolehan, mencerminkan pendekatan fiskal berdisiplin dan berhemat dalam mengimbangi keperluan operasi serta kemampanan kewangan awam,” ujarnya.

Sementara itu, pelaburan awam pula berkembang kukuh 12.6 peratus pada separuh pertama 2025 dan diunjur mengekalkan pertumbuhan dua angka sebanyak 12.7 peratus sepanjang tahun, disokong oleh perbelanjaan modal berterusan syarikat awam bukan kewangan (SABK) dan Kerajaan Persekutuan.

“SABK terus mengekalkan pelaburan dalam industri minyak dan gas dengan tumpuan kepada projek utama gas dan maritim, hiliran serta tenaga bersih. Dalam masa sama, sektor tenaga memfokus kepada inisiatif tenaga boleh diperbaharui termasuk solar berskala besar, kuasa hidro dan sistem Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS).

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan tenaga negara tetapi turut menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon, mencerminkan strategi bersepadu kerajaan memanfaatkan pelaburan awam sebagai pemangkin pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Secara keseluruhan, Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada harga semasa dijangka berkembang lima peratus pada 2025, manakala Tabungan Negara Kasar (TNK) dianggarkan menyumbang 23.4 peratus daripada PNK.

“Jumlah pelaburan dijangka merekodkan 21.7 peratus daripada PNK dengan lebihan tabungan-pelaburan sebanyak RM34.3 bilion atau 1.7 peratus daripada PNK, sekali gus menunjukkan kemampuan negara membiayai pelaburan menerusi sumber domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN