PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam melancarkan ‘perang besar-besaran’ terhadap kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan, dalam usaha mengekang ketidakpatuhan undang-undang serta sikap sambil lewa pengusaha dan pemandu lori berat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan mulai malam semalam hingga 31 Disember 2025, merangkumi lima zon utama, Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo.
“Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan 12 pasukan aktif bagi setiap zon, dengan operasi dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di sini, semalam.
Fokus utama operasi tertumpu kepada kawasan panas yang dikenal pasti sering digunakan kenderaan membawa muatan berlebihan seperti batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak yang kebanyakannya dari sektor kuari, pelabuhan dan industri berat.
Anthony menegaskan tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan di bawah syarat lesen, termasuk pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai hingga menjejaskan keselamatan awam.
“Saya tak boleh bersabar lagi. Banyak kemalangan berlaku akibat lebih muatan dan kelajuan tinggi. Kita akan banteras habis-habisan kenderaan berat yang melanggar undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan lain Athony berkata, anggota penguat kuasa JPJ kini dilengkapi alat perakam badan (BWC) bagi meningkatkan integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tuduhan tidak berasas ketika menjalankan tugas dengan fasa pertama sebanyak 100 unit kamera badan dibekalkan kepada pegawai penguat kuasa di ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.
Penggunaan BWC membolehkan setiap tindakan di lapangan direkod, dinilai dan dipantau secara objektif sekali gus memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta kepercayaan awam. Malah pelaksanaannya jadi pemangkin kepada budaya kerja berintegriti selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.
“Jika ada cubaan bertindak agresif terhadap anggota JPJ, tindakan jenayah akan diambil kerana semua tindakan dirakam. Rakaman juga tidak boleh dimatikan tanpa sebab dan mereka yang berbuat demikian akan disiasat,” katanya. – UTUSAN










