SUBANG JAYA: Pakar arkeologi negara dari Universiti Sain Malaysia (USM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang penyelidikan arkeologi dan pembangunan ilmu di Malaysia.
Prof. Emiretus Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid berkata, ini adalah usaha beliau sepanjang hampir lima dekad, setelah menerajui pelbagai ekspedisi arkeologi penting termasuk penemuan rangka manusia tertua di Asia Tenggara, Perak Man.
Menurutnya, penemuan seperti rangka manusia tertua, Perak Man, serta penemuan di Lembah Lenggong dan Gua Niah adalah usaha keras beliau buat negara tercinta.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan tidak menyangka akan menerima anugerah ini kerana sepanjang saya bekerja, saya tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran. Ia benar-benar satu kejutan besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, pengiktirafan itu adalah hasil titik peluh serta sokongan ramai pihak termasuk kumpulan arkeologi USM dan kerajaan yang banyak memberi galakan sepanjang perjalanan kariernya dalam dunia penyelidikan.
“Sudah hampir 50 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini dan saya bersyukur kerana dapat melihat arkeologi di Malaysia berkembang menjadi satu disiplin yang matang dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan ilmu serta ketokohan Prof. Zuraina dalam memartabatkan arkeologi Malaysia di peringkat dunia.
“Usaha beliau menjadikan Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membuktikan kemampuan ilmuwan tempatan menyumbang kepada warisan serta ketamadunan manusia sejagat,” katanya ketika berucap pada majlis AAN Ke-16 di Dorsett Grand Subang di sini hari ini.
Tambah Zambry, pelan pendidikan tinggi baharu 2026 hingga 2035 akan memberi tumpuan kepada anjakan besar dalam kurikulum, pedagogi dan kemanusiaan, sejajar dengan perubahan landskap global pendidikan masa kini.
“Ahli akademik memainkan peranan penting membentuk pemikiran, nilai dan moral bangsa. Mereka bukan sekadar penyelidik, tetapi pemimpin ilmu yang membina masa depan negara,” katanya.-UTUSAN










