Onn Hafiz tepis dakwaan pembangunan negeri tidak selari - Utusan Malaysia

Onn Hafiz tepis dakwaan pembangunan negeri tidak selari

ONN Hafiz Ghazi ketika menghadiri Program Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Parit Raja Darat, Jalan Temenggong Ahmad, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Menteri Besar Johor menepis dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa pembangunan di negeri ini tidak selari dan hanya memberi fokus pada kawasan selatan sahaja hingga memaksa rakyat berhijrah ke negeri atau kawasan lain.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mempunyai Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang akan memastikan pembangunan Johor lebih menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan.

Beliau berkata, setiap daerah mempunyai fokus masing-masing dan dipercayai akan memberi kesan kepada ekonomi Johor serta membawa limpahan kepada semua rakyat di sini terutama melalui bantuan-bantuan yang disalurkan kerajaan negeri.

“Di mana setiap daerah mempunyai fokus masing-masing, jadi saya yakin di peringkat warga Johor, bila kita lihat ekonomi negeri semakin meningkat dan membangun, limpahan ekonomi itu benar-benar dapat dirasai oleh bangsa Johor terutamanya melalui bantuan-bantuan Kasih Johor.

“Jadi apa yang dicanang oleh mereka tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Parit Raja Darat, Jalan Temenggong Ahmad, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor didakwa gagal membawakan pembangunan seimbang di negeri ini sehingga menyebabkan penduduk di utara Johor terpaksa berhijrah untuk mencari rezeki.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pembangunan yang tidak seimbang itu perlu disuarakan wakil rakyat, dan bukan sebaliknya dibiarkan terus ketinggalan.

Menurutnya, majoriti pembangunan yang diumum sebelum ini banyak berlaku di kawasan selatan Johor seperti Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Mengulas mengenai pembangunan di Maharani, Onn Hafiz berkata, kawasan itu bakal mempunyai Maharani Freeport di Kompleks MEG, Tanjung Emas yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada November lalu.

“Di kawasan Muar ini, kita akan ada pembangunan Maharani Freeport yang telah disempurnakan dan dirasmikan oleh Sultan Johor dan pihak kerajaan negeri akan menyokong penuh projek ini.

“Kita lihat dengan adanya projek ini, akan ada banyak limpahan terutama daripada segi perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN