Penutupan sekolah terjejas ribut dijangka lebih seminggu

Penutupan sekolah terjejas ribut dijangka lebih seminggu

IBU bapa membawa anak ke sekolah bagi mengambil buku berikutan lima sekolah rosak akibat dilanda ribut dan puting beliung di Sijangkang, pada Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Proses pembelajaran secara dalam talian atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan lebih 4,000 pelajar di lima sekolah yang ditutup akibat ribut dan puting beliung telah dimulakan sejak kelmarin.

Kaedah pembelajaran sedemikian dilakukan serta-merta berikutan bencana yang melanda Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.

Seorang ibu, Azah Bakri, 36, berkata, dia menjangkakan penutupan sekolah mungkin lebih daripada seminggu.

“Kerosakan dialami terutama di sekolah paling teruk terjejas di SK dan SMK Kampung Medan tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana banyak bumbung runtuh, infrastruktur rosak dan sebagainya.

“Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah pun mula menggerakkan tabung sumbangan bagi membantu pemulihan dan pembaikan kerosakan sekolah, ada juga yang mencadangkan supaya gotong–royong diadakan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 Semalam, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di lima sekolah termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa susulan kejadian ribut dan puting beliung pada Rabu lalu.

Bencana tersebut menyebabkan kerosakan serius pada bumbung sekolah serta pelbagai kemudahan lain sehingga menyebabkan keadaan di sana tidak selamat untuk operasi persekolahan seperti biasa.

Dalam pada itu, seorang lagi ibu, Yana Ali, 40, berkata, ibu bapa menghantar anak mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di SK Sijangkang Jaya diarahkan mengambil buku bagi meneruskan pembelajaran PdPR.

“PdPR sudah pun bermula semalam secara dalam talian apabila guru berkongsi capaian video, YouTube dan kuiz untuk anak.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada makluman daripada guru atau pihak sekolah sampai bila PDPR akan dijalankan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN