PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan bakal meneruskan perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Bella Astillah selepas mendapat respons positif daripada kedua-dua ibu bapanya.
Syed Saddiq berkata, perkembangan menggembirakan itu diterimanya sejurus beliau selesai melakukan sujud syukur susulan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.
“Selepas saya turun dan selesai melakukan sujud syukur, ayah dan ibu sudah memberikan ‘signal’ positif supaya dapat meneruskan (perkahwinan) selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas prosiding rayuan akhir pendakwaan berhubung pembebasannya di Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada Bella yang disifatkan sentiasa setia berada di sisinya ketika beliau melalui tempoh sukar berdepan proses perundangan.
Menurutnya, kesetiaan pelakon dan penyanyi itu amat bermakna kerana Bella tetap memberikan sokongan ketika beliau masih berdepan sabitan sebelum keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang sentiasa setia bersama. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana sebelum dia bersama saya, saya merupakan seorang pesalah ketika itu.
“Di mahkamah, sebelum kemenangan 3-0 di Mahkamah Rayuan, saya merupakan salah seorang pesalah. Namun, dia tetap bersama saya.
“Alhamdulillah, hari ini saya tidak lagi perlu berjalan dengan beban itu dan saya amat menghargai jasanya,” katanya.
Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Terdahulu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasannya.










