Saya masih solo pada usia 30 tahun bukan sebab saya memilih - Amir Masdi - Utusan Malaysia

Saya masih solo pada usia 30 tahun bukan sebab saya memilih – Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi mengakui ibunya menanam hasrat mahu melihat dirinya menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun.

Bagaimanapun, kata Amir, permintaan itu sukar ditunaikan memandangkan dirinya masih belum mempunyai calon ketika ini.

Amir atau Amir Syazwan Masdi, 30, berkata, dia bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 pada Oktober ini.

Menurut Amir, dirinya yang belum mempunyai pasangan bukanlah disebabkan dia sengaja memilih, namun statusnya kini memang benar-benar solo dan tidak mempunyai sebarang cerita cinta dengan sesiapa.

“Mak saya sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang mahukan saya berkahwin pada usia 30 tahun ini. Cumanya, kalau mahu mencapai sasaran tersebut nampaknya macam tidak sempat sebab calon pun belum ada lagi sedangkan saya bakal memasuki usia 30 tahun pada Oktober ini.

“Jadi untuk perkara ini, saya memang kena tunggu sehingga ada calon dahulu. Setakat ini mak saya tidak ada mencarikan sesiapa dan dia menyerahkan keputusan itu sepenuhnya kepada saya,” katanya.

Amir berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Muzik Lab: Hab Kreatif AJL40 di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral, Pantai Dalam, pada Ahad.

Menolak dakwaan kononnya dia kini trauma atau fobia dengan kegagalan hubungan cinta yang lalu, anak kedua daripada tiga beradik ini menjelaskan bahawa fokus utamanya sekarang hanyalah pada kerjaya.

“Keluarga saya bukan jenis yang akan menjodohkan saya sekiranya saya lambat bertemu calon isteri. Mereka hanya meminta saya untuk mengikut sahaja aturan hidup dan mengikut arus masa,” jelasnya.

Untuk rekod, Amir bakal mempertaruhkan lagu NurCinta di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) yang merupakan hasil ciptaan bersama Edry Abdul Halim dan Amir sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN