Pendirian pelan damai Trump antara tumpuan Dewan Rakyat

Pendirian pelan damai Trump antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung konflik Palestin-Israel dijangka menjadi antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan akan dibangkitkan oleh Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) menerusi sesi Waktu Pertanyaan Menteri kepada Perdana Menteri.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip serta pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mempertahankan kedaulatan negara itu di peringkat antarabangsa.

Dalam sesi sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 khususnya dari aspek promosi antarabangsa dan penglibatan kerajaan negeri.

Mas Ermieyati juga ingin mengetahui sama ada perbelanjaan program promosi berkenaan dilaksanakan berasaskan prinsip ‘nilai untuk wang’ serta adakah kerajaan bercadang mengadakan majlis pelancaran berskala besar pada 31 Disember 2025 seperti amalan terdahulu.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab pula, Datuk Sri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan faktor kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan Malaysia sering menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa termasuk kes terbaharu melibatkan lebih 400 individu yang ditahan di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) pula meminta penjelasan daripada Menteri Kesihatan sama ada kementerian berkenaan bersedia memasukkan semula nikotin ke dalam senarai bahan Racun Negara susulan kandungan bahan tersebut dalam rokok elektronik atau vape.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini turut menyaksikan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 dan RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN