KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan program pengakuan sukarela e-invois sehingga 31 Disember 2027 bagi membantu mengurangkan kos pematuhan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program berkenaan adalah ikhtiar tambahan kerajaan kepada pembayar cukai.
Katanya, melalui program itu sebarang kemas kini sepanjang tempoh berkenaan, sama ada semakan, pembetulan yang dikemukakan secara sukarela tidak akan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ini satu keputusan besar kerana selalunya tidak berlaku sedemikian bagi cukai pendapatan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta menyatakan sama ada Kerajaan Madani maklum mengenai kegelisahan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana kesulitan dana untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka. – UTUSAN










