PETALING JAYA: Skim pinjaman yang berselindung di sebalik nama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dikesan semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial, menyasarkan pencarum berusia 53 hingga 55 tahun yang menghampiri usia persaraan.
Tawaran yang dilabel sebagai ‘pinjaman KWSP senang lulus’ itu menjadikan golongan berkomitmen tinggi, berdepan tekanan kewangan dan memerlukan wang segera sebagai sasaran utama.
Namun, di sebalik janji manis ‘mudah lulus tanpa bayaran bulanan’, mereka sebenarnya berisiko kehilangan wang simpanan hari tua. Ini kerana perlu membayar semula pinjaman dengan kadar berlipat ganda menggunakan simpanan persaraan sebagai cagaran.
Tinjauan Utusan Malaysia di Facebook, Instagram, X dan WhatsApp mendapati skim itu dijalankan seperti pinjaman peribadi tidak berlesen dengan modus operandi amat meragukan.
Promosi menggunakan ayat seperti ‘Pinjaman KWSP senang lulus, tiada slip gaji, tiada potongan bulanan’ bagi menarik mangsa yang terdesak.
Sebagai contoh, berdasarkan pemerhatian, seorang pencarum ditawarkan pinjaman RM10,500 bergantung kepada baki akaun KWSP, tetapi diminta membayar balik sehingga RM25,772 apabila mencapai umur 55 tahun.
Walaupun pinjaman bersih diterima penuh, caj tambahan termasuk yuran guaman, faedah, caj pemprosesan dan kononnya caj ‘stamping LHDN’ menyebabkan jumlah keseluruhan meningkat berganda.
Istilah stamping LHDN kerap digunakan sebagai alasan mengenakan caj tambahan, namun hasil semakan mendapati dokumen yang diberikan tidak sah dan hanya taktik memperdaya mangsa.
Dalam kes lain, pinjaman RM15,000 ditawarkan dengan bayaran balik mencecah RM37,363 dalam tempoh 23 bulan, disertai janji diskaun kecil jika bayaran dibuat lebih awal serta peluang pinjaman kali kedua selepas enam bulan.
Lebih membimbangkan, sasaran utama skim ini ialah pencarum KWSP menghampiri umur pengeluaran penuh, yang diminta menyerahkan butiran peribadi seperti umur, tarikh lahir, jumlah simpanan, salinan kad pengenalan, penyata KWSP, bil utiliti dan maklumat penjamin keluarga.
Pendedahan maklumat ini membuka ruang besar kepada penyalahgunaan data dan penipuan identiti.
Selain itu, ejen turut mengarahkan semua bayaran balik dilakukan secara tunai atau deposit terus ke akaun individu tertentu, kononnya bagi mengelak sekatan bank. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan urus niaga yang dijalankan.
Lebih licik, promosi skim tersebut disertakan dengan testimoni palsu di media sosial, kononnya pelanggan sudah menerima wang pinjaman dan berterima kasih kepada ejen berkenaan.
Namun hasil pemerhatian mendapati transaksi yang dipaparkan hanyalah urusan sesama mereka bagi mengaburi mata bakal mangsa.
Dalam tempoh lebih dua minggu tinjauan, Utusan Malaysia mendapati skim ini bergerak secara agresif dengan iklan berbayar yang ditujukan khas kepada pengguna media sosial berumur 50 tahun ke atas.
Hasil siasatan mendapati, ramai pencarum yang hampir bersara terperdaya kerana terpengaruh dengan slogan ‘tiada komitmen, bayar bila keluar KWSP’ sedangkan mereka akhirnya terikat dengan hutang berganda.
Seorang kakitangan swasta, Mohd. Fadzil Ismail, 54, berkata, beliau sengaja menghubungi ejen skim pinjaman tersebut melalui WhatsApp untuk menguji proses pinjaman yang ditawarkan.
“Mereka hanya minta salinan mykad, penyata KWSP dan nombor akaun bank. Prosesnya nampak mudah dan cepat lulus, tapi bila saya tanya tentang jumlah bayaran balik, ia hampir dua kali ganda daripada pinjaman asal. Masa itu saya sudah yakin ia penipuan,” katanya.
Sementara itu, seorang pesara awal, Rohani Ahmad, 55, yang turut mencuba skim berkenaan memberitahu tawaran yang diterima amat mencurigakan kerana syaratnya langsung tidak masuk akal.
“Mereka kata boleh pinjam RM20,000 tanpa perlu bayar apa-apa sekarang, hanya bila keluarkan KWSP pada umur 55 tahun baru kena bayar semula. Tapi jumlah bayaran balik lebih RM40,000. Siap ada caj insurans dan ‘stamping LHDN’ palsu. Kalau orang jenis mudah terpengaruh, memang mudah terperdaya,” katanya.
Seorang lagi individu, Iskandar Halim, 53, turut melakukan perkara sama bagi memastikan dakwaan pinjaman mudah ini benar atau sekadar helah.
“Saya pun cuba ikut arahan mereka. Semua kelihatan lancar, cuma bila saya kira semula, jumlah perlu dibayar balik jauh lebih tinggi daripada pinjaman yang ditawarkan. Saya terus sedar ini bukan skim sahih,” katanya. – UTUSAN










