SEREMBAN: Tindakan seorang pemandu lori warga membuang muatan batu agregat secara mengejut di tepi Jalan Labu di sini pagi tadi mengundang padah apabila perbuatannya dikesan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Insiden itu berlaku selepas lori berkenaan ditahan anggota JPJ pada jam 10.30 pagi di Jalan Labu selepas pihak berkuasa pada mulanya mengesan pemandu lori berkenaan tidak mempunyai lesen kenderaan barangan (GDL).
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebelum penahanan pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari Labu ke Seremban.
“Setelah mengesan pemandu gagal mengemukakan lesen sah, pihak berkuasa kemudiannya mengarahkan lori tersebut dibawa ke stesen timbang bagi pemeriksaan lanjut.
“Namun ketika dalam perjalanan ke stesen timbang, pemandu itu bertindak nekad menghentikan lori secara tiba-tiba dan membuang muatan batu di tepi jalan tanpa amaran tidak kurang 10 kilometer (km) dari lokasi ditahan.
“Tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain, khususnya penunggang motosikal, malah boleh menyebabkan kemalangan dan kerosakan pada jalan serta sistem saliran,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Perayaan Deepavali Tahun 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang di sini, hari ini.
Hanif berkata, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut, dan semakan mendapati pemandu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah namun lesen GDL telah tamat tempoh.
“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai menerima arahan melalui telefon untuk membuang muatan berkenaan,” katanya.










