Anwar terima perkembangan pelan damai Gaza

Anwar terima perkembangan pelan damai Gaza

ANWAR Ibrahim ketika mendapatkan perkembangan Pelan Damai Gaza daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus mengikuti rapat perkembangan terkini Pelan Damai Gaza susulan perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Anwar berkata, El-Sisi memaklumkan tumpuan kini diberikan kepada usaha membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza bagi mengelak rejim Zionis menggunakan alasan untuk menggagalkan proses damai.

“Beliau turut menjelaskan pelaksanaan fasa kedua pelan berkenaan melibatkan pembinaan semula Gaza, perlindungan Tebing Barat serta penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) seperti disyorkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya menerusi hantaran Facebook.

Tambahnya, El-Sisi turut menjemput beliau menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza di Mesir sebagai usaha memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.

“Presiden El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil positif memandangkan peranannya penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza,” katanya.

Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin sependapat mengenai keperluan mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin.

Pada 13 Oktober lalu, El-Sisi bersama Trump dilaporkan akan mempengerusikan satu sidang kemuncak antarabangsa mengenai Gaza di Sharm el-Sheikh bagi membincangkan cadangan untuk menamatkan perang Israel di wilayah itu.

Sidang tersebut akan dihadiri pemimpin dari lebih 20 negara dengan matlamat untuk menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat serta membuka lembaran baharu dalam keselamatan serantau. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN