PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 untuk pelajar sekolah selama 60 minit seminggu.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan membentuk individu yang bersahsiah unggul, beradab dan bertanggungjawab.
Katanya, ia merupakan satu anjakan strategik bertujuan memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan murid secara berstruktur dan menyeluruh.
“Pada peringkat prasekolah, ia akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi aktiviti harian pembelajaran.
“Manakala bagi peringkat sekolah rendah dan menengah pula, peruntukan masa khusus selama 60 minit seminggu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan.
“Ini membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus,” katanya hari ini.
Menurut KPM, program ini menekankan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada aktiviti yang memberi tumpuan kepada penghayatan nilai, tingkah laku positif serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian murid.
Katanya, ia adalah cerminan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melahirkan generasi yang holistik dalam aspek akademik, sahsiah dan jati diri. – UTUSAN










