TUMPAT: Seorang lelaki nekad terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke Thailand dengan meninggalkan meninggalkan perahu sarat muatan gas petroleum cecair (LPG) selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di pangkalan haram Mekza, Simpangan pada pukul 8 malam itu membawa kepada rampasan 15 tong gas LPG termasuk perahu bernilai RM11,560.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah mengesan sebuah perahu dinaiki seorang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, menyedari kehadiran anggota PGA yang menghampiri perahu tersebut untuk melakukan pemeriksaan, suspek bertindak terjun ke dalam sungai sebelum berenang ke arah Thailand bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan di dalam perahu itu menemukan 15 tong gas petroleum cecair berkapasiti 14 kilogram yang disyaki cuba diseludup melalui laluan tidak diwartakan.
“Turut dirampas ialah sebuah perahu dan sebuah penimbang sebelum semua barang kes dibawa ke markas kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, semua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kita sedang mengesan pemilik perahu untuk membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN










