Anggap isu kepercayaan jadi ujian terbesar - Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Anggap isu kepercayaan jadi ujian terbesar – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sesiapa yang mengikuti perjalanan seni Ernie Zakri, pasti tahu dia sudah mencorak langkah dalam industri nyanyian selama 15 tahun.

Sepatutnya tempoh matang itu menjanjikan fasa yang menenangkan. Namun dia mengakui ‘parut paling berbekas’ baginya adalah ujian kepercayaan.

Bagi empunya diri, sifat peribadinya yang jujur dan terlalu mudah meletakkan kasih sayang itu adakalanya memakan diri sampaikan ada pihak yang sanggup menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan atas kebaikannya.

Enggan terus membiarkan diri diracuni toksik industri, pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, ini kini lebih berwaspada. Dia mula membina sempadan dalam memilih siapa yang mahu didekati demi memelihara ketenangan mentalnya.

“Perkara yang paling sukar buat saya sepanjang berada dalam industri ini sebenarnya adalah dari sudut kepercayaan. Saya secara peribadi seorang yang sangat mudah menyayangi orang lain dan apabila saya sudah mula percaya, saya akan hargai hubungan itu sepenuhnya.

“Namun, daripada peristiwa kebelakangan ini, ia sebenarnya mengajar saya untuk tidak mudah percaya kerana orang terdekat juga adakalanya suka memanipulasi keadaan. Ini bukanlah satu penyesalan, sebaliknya pengajaran hidup yang paling berharga untuk mematangkan saya,” katanya kepada Pancaindera.

Mahu tenang, cuba elak toksik industri

Meskipun pernah berdepan episod duka dilukai oleh individu persis parasit ini, Ernie enggan menuding jari ke arah sesiapa. Sebaliknya, dia memilih untuk mencerna setiap kepahitan itu daripada sudut pandang yang lebih positif.

Jelas Ernie, dia cukup mengerti setiap manusia mempunyai percaturan tersendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam industri. Enggan membiarkan sisa emosi negatif itu bertempiaran, dia mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada kitaran tidak sihat tersebut.

“Saya sedar, dalam kehidupan ini mungkin saya juga pernah menjadi watak jahat dalam kisah hidup orang lain, dan begitu juga sebaliknya. Jadi, berbanding saya terus berdendam, adalah lebih baik saya mengundur diri demi kesihatan mental saya.

“Sebagai ibu, saya sama sekali tidak mahu membawa pulang aura negatif ke rumah kerana bimbang ia meresap ke dalam jiwa anak saya, Khawla Soleha. Saya pernah terbawa aura negatif di luar hingga terdiam di rumah, jadi sekarang saya belajar menepis perasaan buruk itu,” ujarnya.

Meskipun berdepan dengan pelbagai hentaman emosi, Ernie tidak mahu membiarkan hal itu terus bertemasya dalam isi kepalanya. Ia juga membawa kepada keputusannya untuk berehat selama tujuh bulan sebelum ini.

Ernie mengakui, dia benar-benar memanfaatkan masa tersebut sebaiknya untuk bertenang bagi mencari semula ilham dan menyusun strategi bagi projek muzik yang seterusnya.

Barangkali berhasil, Ernie kemudiannya tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Tak Berlagu’ yang turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk filem seram tempatan, Khadam.

Jelasnya, lagu tersebut sebenarnya membawa konsep yang sangat berbeza daripada karya balada arus perdana yang sering dinyanyikannya sebelum ini.

“Keputusan untuk berehat selama tujuh bulan sebelum ini juga sebenarnya satu tindakan yang agak berani buat diri saya untuk memulihkan semangat. Namun, saya rasa langkah itu perlu untuk menyegarkan semula fikiran dan mencari ilham baharu sebelum memulakan projek seterusnya.

“Kemunculan semula menerusi lagu Tak Berlagu ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Projek ini sangat istimewa bagi saya kerana ia mengangkat tema yang sangat dekat dengan jiwa iaitu tentang pengorbanan seorang ibu,” katanya.

Kongsi Ernie lagi, melalui lagu tersebut, dia mempertaruhkan sisi muzik yang lebih matang, gelap, dan berat bersesuaian dengan usianya yang kini sudah menginjak ke angka 34 tahun. Ini merupakan percubaan berani Ernie untuk memberikan sesuatu yang segar dan peribadi buat para pendengar setianya.

“Saya tahu ada segelintir peminat yang rasa lagu baharu ini agak berat dan sedikit sukar untuk dihayati pada pendengaran pertama. Nasihat saya, cubalah tonton dahulu filem Khadam di pawagam kerana penceritaan dan emosi dalam filem itu akan membuatkan anda faham mengapa saya menggunakan teknik nyanyian sebegitu.

“Alhamdulillah, selepas filem itu ditayangkan, ramai mula memberikan maklum balas baik. Mereka akhirnya faham struktur dan emosi sebenar yang cuba saya sampaikan dalam naskhah tersebut,” ujarnya.

Selain itu, kongsi Ernie, sebuah lagi projek besar yang sering menjadi pertanyaan dalam kalangan peminatnya yang digelar sebagai Ernienators adalah status perkembangan album terbaharunya yang berjudul ‘Sahabat’.

Album yang mengetengahkan konsep kolaborasi dan duet bersama barisan artis ternama Malaysia serta Indonesia itu kini katanya terpaksa ditangguhkan seketika.

“Projek album Sahabat ini pula bukan sesuatu yang dibuat untuk main-main, malah kami sudah merakamkan sekitar lapan hingga sembilan lagu berkualiti. Banyak perkara di belakang tabir yang berlaku. Namun album ini tetap akan diluncurkan cuma menunggu perancangan dan masa yang betul-betul tepat untuk kerjaya saya sekarang.

“Saya sangat gembira apabila peminat masih bertanya dan ambil tahu tentang perkembangan album Sahabat. Malah, kalau ada yang marahkan saya kerana belum melancarkan lagu baharu, saya nampak perkara itu dari sudut positif kerana bermakna mereka masih menantikan karya saya,” tambahnya.

Bakat Khawla dan tulang belakang Ernie Zakri

Mengalih pandangannya mengenai kehidupan sejak bergelar isteri dan ibu, Ernie mengakui dia sangat mendakap setiap nikmat yang dipinjamkan Allah SWT buatnya.

Turut berbangga dapat melihat sendiri puteri kecilnya membesar di hadapan mata, Erne tidak menafikan, Khawla ada menunjukkan potensi besar dan minat mendalam terhadap dunia seni muzik.

Pun begitu, Ernie mengambil pendekatan untuk tidak memaksa.

“Melihat kepada usianya sekarang, saya juga boleh katakan Khawla memang berpotensi dalam muzik, tetapi perjalanannya masih jauh. Saya dan Syamel sengaja membawanya ke tempat kerja supaya dia faham proses dan kesukaran kami, jadi dia tahu untuk bergelar penyanyi bukan sekadar bersandar kepada rupa paras cantik sahaja.

“Berikutan masih kecil, jadi minatnya bertukar-tukar. Sekejap mahu main drum dan sekejap mahu main gitar. Kami tidak mahu memaksa atau menekan dia terlalu awal kerana apa yang paling penting bagi kami adalah menjaga kesihatan mentalnya daripada kecaman,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai suaminya, Ernie mengakui Syamel merupakan sistem sokongan paling utama dirinya.

“Syamel seorang suami yang sangat memahami dan sentiasa meredai kerjaya saya untuk keluar mencari rezeki. Dia sangat serius di rumah tetapi dia orang terbaik untuk saya berbincang dan dia jugalah yang mendorong saya untuk kembali aktif menggubah lagu semula.

“Selain suami, idola terbesar saya sejak kecil ialah Dayang Nurfaizah. Dialah yang sentiasa memberikan inspirasi besar dalam cara saya membawa diri dan memperjuangkan genre muzik saya dalam industri ini,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN