Pecah rumah: Empat warga Amerika Latin sasar rumah tidak berpenghuni - Utusan Malaysia

Pecah rumah: Empat warga Amerika Latin sasar rumah tidak berpenghuni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat warga Amerika Latin dipercayai terlibat dengan empat kes pecah rumah dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, 21 September lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga warga Colombia dan seorang Mexico yang berusia 40-an itu dipercayai terlibat dengan empat kes pecah rumah di sekitar di Perak dan Lembah Klang sejak September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Datuk M. Kumar berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit yang bergiat aktif sejak sebulan lalu menyasarkan kediaman yang tidak berpenghuni serta pemilik rumah yang keluar bekerja ketika waktu siang.

Katanya, bagaimanapun, pemeriksaan mendapati dua lelaki Colombia pernah ditahan di negara ini pada 2012 dan 2014 kerana terlibat dengan kegiatan jenayah yang sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek tersebut masing-masing mempunyai tiga dan enam rekod lampau dan dipercayai dalang dalam kegiatan ini.

“Tiga daripada mereka iaitu warga Colombia dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan manakala seorang lagi warga Mexico melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dalam operasi itu, kita turut merampas pelbagai barangan kemas, jam tangan mewah, mata wang asing dari pelbagai negara yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah, dua kenderaan dan peralatan digunakan untuk jenayah itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Menuru Kumar, modus operandi kumpulan ini dengan meninjau sasaran kediaman menggunakan kereta Honda CRV dipercayai kenderaan klon.

Jelanya, kumpulan tersebut dikesan memecah masuk satu kediaman di Perak dan tiga lagi kes di Petaling Jaya dan Brickfields.

“Dua daripada empat kes berjaya kita selesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Kesemua suspek selama tujuh hari bermula 13 Oktober hingga lusa dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN