KUALA LUMPUR: Pelakon, Jazmy Juma menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya bersikap besar kepala atau sukar memberikan kerjasama kepada rakan pelakon lain ketika berada di set penggambaran.
Jazmy atau Jazmy Khan Juma Khan, 28, berkata sepanjang bergelar anak seni, dia tidak pernah berniat mengganggu atau menyusahkan mana-mana pihak, apatah lagi bersikap sombong seperti yang didakwa.
“Saya tidak tahu mengenai dakwaan itu dan sepanjang ini saya tidak pernah mempunyai sebarang isu dengan mana-mana individu di set penggambaran.
“Setakat ini, saya tidak pernah mengganggu sesiapa atau berlagak seperti diva ketika berada di lokasi,” katanya.
Jazmy ditemui pada majlis tayangan eksklusif episod pertama drama Yes! Captain Zul Aaryan di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon yang kini bergelar suami itu tidak menafikan ada kalanya dia terlewat tiba di lokasi penggambaran, namun perkara tersebut berlaku secara tidak disengajakan dan dia sentiasa memohon maaf kepada pihak terbabit.
“Sejujurnya, waktu bekerja sebagai pelakon memang tidak menentu. Ada ketika jadual terlalu padat sehingga badan terlalu letih dan menyebabkan saya terlajak tidur.
“Jika perkara itu berlaku, saya akan meminta maaf kepada pihak produksi. Namun, ia bukan sesuatu yang selalu terjadi kerana saya juga cuba memberikan komitmen terbaik. Saya cuma manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Insya-Allah selepas ini saya akan cuba kekalkan tenaga dan disiplin yang lebih baik. Saya rasa ramai juga pernah melalui situasi seperti ini,” katanya.
Sebelum ini, seorang pelakon lelaki memuat naik hantaran menegur sikap segelintir rakan pelakon di set penggambaran yang didakwa sukar memberikan kerjasama selain enggan berinteraksi dengan warga produksi.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, hantaran berkenaan dikaitkan oleh warga maya dengan Jazmy memandangkan mereka baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah projek drama bersama.
Dalam perkembangan lain, Jazmy menyifatkan peluang membawakan watak seorang juruterbang menerusi drama Yes! Captain Zul Aaryan sebagai satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
Katanya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menjayakan watak berkenaan sama ada dalam drama mahupun filem.
“Saya memang sudah lama teringin untuk menjadi juruterbang dalam drama atau filem dan akhirnya impian itu tercapai.
“Kerjasama dengan barisan pelakon lain juga sangat mudah, terutama Anna Jobling walaupun ini merupakan gandingan pertama kami,” ujarnya.
Drama Yes! Captain Zul Aaryan turut menampilkan barisan pelakon seperti Nafis Muaz, Daniel Fong dan Natasha Sass. Drama berkenaan mengisi slot Akasia TV3 dan mula ditayangkan sejak semalam. -UTUSAN










