'It's Coming Home' kembali bergema

‘It’s Coming Home’ kembali bergema

Penyokong England meraikan kemenangan pasukan mereka selepas menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Miami. Kemenangan itu membawa The Three Lions mara ke separuh akhir untuk bertemu juara bertahan, Argentina. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Impian penyokong England untuk melihat trofi Piala Dunia kembali ke bumi mereka semakin membara apabila skuad Three Lions bangkit menewaskan Norway 2-1 dalam masa tambahan, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir, semalam.

Sorakan bergema di pub dan dataran sekitar London sebaik Jude Bellingham muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan, manakala ribuan penyokong melaungkan lagu ikonik Three Lions yang sinonim dengan slogan It’s Coming Home.

“England yang biasa. Saya harap kali ini kami tidak perlu membuat penyokong berdebar sehingga ke penghujung perlawanan.

“Saya memang percaya kami boleh menang walaupun Norway mendahului. England sentiasa ada cara untuk bangkit,” kata penyokong, Olly Aleksejuk.

Norway terlebih dahulu mengejutkan England menerusi jaringan Andreas Schjelderup sebelum Bellingham menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama, manakala gol kedua Norway pula dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Erling Haaland melakukan kekasaran.

Di Boxpark Wembley, kira-kira 1,600 penyokong memenuhi kawasan berkenaan sambil menyanyikan lagu Hey Jude dan Three Lions, sebelum sambutan kemenangan diteruskan di sekitar Camden dengan bunyi hon kenderaan serta laungan kegembiraan sehingga awal pagi.

“Saya rasa kami akan ke final dan selepas itu apa sahaja boleh berlaku. Harapnya kami mampu melangkah hingga ke penghujung,” kata seorang lagi penyokong, Henry Freestone.

“Apabila Jude berada di atas padang, saya tahu dia akan melakukan sesuatu untuk pasukan. Dia sentiasa memberi keyakinan kepada semua orang,” kata penyokong, Lucy Bickley.

Kemenangan itu turut diraikan tokoh kenamaan termasuk Putera William dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Thomas Tuchel, ketika England kini hanya selangkah lagi untuk memburu penampilan pertama di pentas final Piala Dunia sejak muncul juara pada edisi 1966. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN