JELEBU: Sokongan pengundi Cina masih berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pola sokongan melebihi 80 peratus itu membolehkan DAP mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang ditandingi manakala PKR pula menang di kerusi Puteri Wangsa.
Namun, beliau mengakui sokongan pengundi Melayu pada PRN kali ini lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Kalau tidak melebihi 80 peratus, mustahil DAP boleh menang enam kerusi. Di kawasan-kawasan bandar seperti di Bentayan, Stulang, Senai dan sebagainya, sokongan pengundi Cina masih hampir 80 peratus kepada PH.
“Cuma kita mengakui sokongan pengundi Melayu berpihak kepada BN dalam jumlah yang besar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Tahun 2026 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kampung Chennah, di sini, hari ini.
Mengulas keputusan PRN Johor, Menteri Pengangkutan itu berkata, PH menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi walaupun telah menjangkakan saingan yang sukar.
“Keputusan semalam memang satu keputusan yang kami jangkakan agak sukar bagi PH. Kita menerima dan menghormati keputusan pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan besar BN turut dipengaruhi peralihan sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN) kepada gabungan itu dalam pertandingan satu lawan satu.
Katanya, pola pengundian itu jelas dapat dilihat di beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi PH menerusi pertandingan tiga penjuru.
“Di beberapa kerusi yang kami tewas, pada pilihan raya lalu kami menang kerana pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh sekitar 40 peratus undi.
“Kali ini apabila berlaku pertandingan satu lawan satu, pemindahan undi tidak berlaku kepada PH, sebaliknya kepada calon BN.
“Penyokong PN memberikan sokongan kepada BN dan itu memberi kelebihan kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, keputusan PRN Johor tidak semestinya menjadi penentu kepada keputusan PRN Negeri Sembilan kerana setiap negeri mempunyai landskap politik dan dinamik yang berbeza.
Menurutnya, PH akan memberi tumpuan untuk mempertahankan 17 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu selain berusaha memenangi dua atau tiga kerusi tambahan bagi membentuk majoriti di Negeri Sembilan.
“Setiap negeri mempunyai dinamik yang berbeza dan politik sentiasa berubah. Masih ada masa sebelum PRN Negeri Sembilan dan kami akan bekerja lebih keras untuk mempertahankan sokongan sedia ada serta mendapatkan mandat yang lebih kukuh daripada rakyat,” katanya. – UTUSAN










