HAVANA: Rakyat Cuba semakin tertekan berdepan krisis gangguan elektrik yang berulang, dengan sebahagian penduduk terpaksa hidup tanpa bekalan tenaga mencukupi ketika negara itu bergelut kekurangan bahan api dan keadaan sistem penjanaan yang semakin uzur.
Negara itu sekali lagi berdepan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara kelmarin, yang merupakan kejadian kedua dalam tempoh seminggu dan keempat sepanjang tahun ini.
“Kami sedang berusaha memulihkan Sistem Kuasa Elektrik Kebangsaan, dalam situasi kompleks di tengah kesukaran yang dihadapi setiap hari,” kata Menteri Tenaga Cuba, Vicente de la O Levy di media sosial.
Sebelum gangguan terbaharu berlaku, sebahagian besar kawasan di Cuba termasuk Santiago de Cuba masih belum mendapat bekalan elektrik susulan kekurangan bahan api serius, selepas gangguan seluruh negara menyebabkan kira-kira 10 juta penduduk ‘bergelap’ pada Isnin lalu.
Pihak berkuasa menyambung semula sebahagian besar grid elektrik negara itu menjelang Selasa.
Seorang penduduk, Yailin Fis Garcia, berkata kawasan kejiranannya di pinggir ibu negara mengalami kekurangan tenaga yang sangat serius sehingga sepanjang bulan lalu, dengan rumahnya hanya menerima bekalan elektrik selama satu atau dua jam sehari.
“Semua makanan rosak dan menyebabkan kerugian ekonomi,” katanya, sambil meluahkan kekecewaan apabila gangguan bekalan elektrik menjejaskan perniagaan makanan keluarganya.
Penduduk Havana, Gabriel Rico, berkata dia sudah terbiasa membawa lampu suluh selepas gangguan bekalan elektrik semakin kerap berlaku.
“Kami sudah bersedia hadapi sekatan itu, yang menyebabkan kami menderita seperti sekarang dan kehidupan kami hancur,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump, mengenakan sekatan minyak terhadap pulau Caribbean itu selepas Washington menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, pada 3 Januari lalu.
Venezuela sebelum ini merupakan pembekal bahan api utama kepada Cuba, namun tekanan berterusan AS kemudian menyebabkan Mexico menghentikan penghantaran minyak ke negara itu.- AGENSI










