Pasukan khas SPRM pantau PRN Sabah

Pasukan khas SPRM pantau PRN Sabah

AZAM Baki (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kadet Kor SUAR selepas Majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas pemantauan bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pasukan berkenaan melibatkan penempatan kira-kira 40 pegawai dari Ibu Pejabat SPRM bagi memperkukuh pemantauan di lapangan sepanjang tempoh pilihan raya itu berlangsung.

“Setakat ini, saya telah arahkan pasukan khas itu ditubuhkan di Sabah sebagai pusat operasi utama dan disertai lebih 40 pegawai berpengalaman.

“Sabah ini negeri yang luas dan banyak kawasan perlu diperhatikan, sebab itu kita tubuhkan pasukan khas selain menggunakan sistem pemantauan bagi memudahkan proses pengawasan di semua kawasan terlibat,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Azam berkata, bilik gerakan pilihan raya akan diwujudkan di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama sebelum diperluas ke beberapa daerah lain di negeri itu.

Menurutnya, SPRM turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“SPRM dan PDRM masing-masing mempunyai kuasa berkaitan kesalahan pilihan raya, justeru itu kerjasama antara kedua-dua agensi amat penting bagi memastikan proses pilihan raya berjalan secara telus dan berintegriti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN