Paskau terima tujuh bot JE-470 dari kerajaan Jepun

Paskau terima tujuh bot JE-470 dari kerajaan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tujuh buah bot penyelamat JE-470 diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TDM) daripada kerajaan Jepun menerusi Program Bantuan Keselamatan Rasmi antara kedua-dua negara.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, tujuh bot penyelamat JE-470 diserahkan dan akan digunakan komando Pasukan Khas Udara (Paskau) bagi memperkukuh operasi di kawasan perairan.

“Bot ini mampu meningkatkan mobiliti dan kecekapan anggota dalam melaksanakan operasi udara TUDM, operasi pasukan khas serta misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

“Penyerahan aset ini turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan TUDM di samping memperkukuh kerjasama strategik pertahanan Malaysia dan Jepun selain mencerminkan komitmen Jepun dalam menyokong kestabilan serantau khususnya dari aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan,” katanya hari ini.

Penyerahan simbolik bot tersebut diadakan di Pangkalan Udara Jugra, Banting dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, H.E Shikata Noriyuki menyerahkan bot berkenaan kepada Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon yang mewakili Panglima Tentera Udara.

Program ini bermula apabila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Disember 2023 telah meluluskan penerimaan bantuan berbentuk geran bernilai 400 juta Yen (RM12.63 juta) daripada kerajaan Jepun bagi pembelian peralatan bukan persenjataan di bawah OSA.

Susulan keputusan itu, perjanjian Exchange of Notes (EN) dimeterai pada 16 Disember 2023 antara kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS).

Melalui pelaksanaan program ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima beberapa aset secara berperingkat termasuk pesawat tanpa pemandu (UAV) dron, bot penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN