Pasar Wilayah Klebang lebih moden, kondusif - Utusan Malaysia

Pasar Wilayah Klebang lebih moden, kondusif

AB. Rauf Yusoh (kanan) menyantuni seorang peniaga pada Majlis Penyempurnaan Cadangan Pembinaan Pasar Baharu Batang Tiga di Klebang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nasib para peniaga Pasar Awam Batang Tiga di Klebang di sini, bakal berubah selepas sebuah pasar awam baharu bakal dibina berhampiran lokasi asal dengan kos RM750,000 yang dijangka siap April tahun depan.

Peniaga, Fauzidah Hassan, 53, berkata, dia yang telah berniaga hampir 30 tahun di pasar itu gembira apabila perancangan kerajaan negeri sejak lima tahun lalu untuk membina pasar baharu menjadi kenyataan.

Katanya, para peniaga sangat memerlukan kawasan pasar yang kondusif dan dilengkapi infrastruktur moden.

“Dulu ada 13 peniaga tetapi sekarang tinggal empat sahaja. Kebanyakan mereka tidak mampu meneruskan perniagaan kerana jumlah kehadiran pelanggan yang semakin merudum.

“Selain itu, kemudahan yang ada semakin uzur dan tiada kawasan untuk meletak kenderaan. Keadaan Jalan Batang Tiga yang semakin sibuk dengan kenderaan bertali arus membuatkan pelanggan berasa tidak selamat untuk turun membeli barang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyempurnaan Cadangan Pembinaan Pasar Baharu Batang Tiga di sini, semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan kerja-kerja pembinaan Pasar Wilayah Klebang bermula pada November ini dengan kos RM750,000.

Ia akan dibina berhampiran Medan Selera Terbuka Klebang dengan menampilkan reka bentuk lebih mampan dan mesra alam sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkatkan mutu kemudahan awam yang efisien dan lestari.

Seorang lagi peniaga, Julia Awang, 45, berkata, pasar baharu yang lebih moden itu diharap dapat meningkatkan semula pendapatan para peniaga.

“Sekarang masih ada pelanggan tetapi tidak ramai. Pasar ini agak daif sehinggakan orang ramai tidak tahu bangunan ini adalah sebuah pasar awam.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat kebajikan para peniaga dan mendengar rintihan kami untuk ditempatkan di pasar baharu. Saya tidak kisah jika kadar sewa dinaikkan sedikit asalkan dapat berniaga dalam persekitaran yang bersih, selamat dan selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN