KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menempatkan pegawai di setiap bahagian perolehan kementerian dan jabatan kerajaan bagi memantau proses kelulusan projek.
Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan ketirisan dan rasuah dalam perolehan projek sehingga boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan.
“Jika berlaku kesalahan, buat tangkapan. Kita tak boleh biarkan kerajaan bazir berjuta ringgit tapi akhirnya projek diberikan menjadi ‘projek sakit’,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam ada pada itu, Tze Tzin turut mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan konsesi pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan secara rundingan terus kepada Spanco.
“Dulu kerajaan buka tender, ada dua syarikat tersenarai, satu Spanco dan satu Naza Berjaya. Naza beri tender RM3.9 bilion tetapi dibatalkan, (sebaliknya) kerajaan masuk rundingan terus dan beri kepada Spanco dengan nilai RM4.6 bilion, RM670 juta lebih mahal,” katanya.-UTUSAN










