PARLIMEN: RMK13 fokus pembangunan infrastruktur kawasan pedalaman

PARLIMEN: RMK13 fokus pembangunan infrastruktur kawasan pedalaman

HANIFAH HAJAR TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan kepada pembinaan serta menaik taraf keperluan infrastruktur asas di kawasan pedalaman termasuk hospital, sekolah, jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan menyedari cabaran besar yang dihadapi penduduk luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak yang masih berdepan kekurangan dalam aspek kemudahan asas dan prasarana.

“Jurang pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman perlu ditangani secara berfokus agar rakyat di kawasan terpencil juga dapat menikmati manfaat pembangunan negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai perancangan strategik kerajaan untuk memastikan projek infrastruktur asas seperti jalan, hospital dan sekolah dapat dilaksanakan di kawasan pedalaman dalam RMK13 bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri.

Menurut Hanifah, pelaksanaan RMK13 akan digerakkan berasaskan tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tadbir urus selaras dengan pendekatan Ekonomi Madani.

“Strategi ini akan diterjemahkan melalui pelbagai projek seperti peluasan jaringan jalan luar bandar, peningkatan akses air bersih, bekalan elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan serta peluasan liputan digital,” ujarnya.

Beliau berkata, kelulusan projek pembangunan di bawah RMK13 akan dibuat berdasarkan data dan keperluan sebenar rakyat dengan mengambil kira keutamaan kerajaan negeri supaya pelaksanaannya selaras dengan matlamat pembangunan negara.

Katanya, Kementerian Ekonomi telah melaksanakan Program Jelajah Jalinan Borneo selama dua bulan untuk memperkenalkan RMK13 kepada masyarakat tempatan serta mendapatkan maklum balas rakyat mengenai keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Melalui sesi libat urus ini, pelbagai cadangan diterima daripada orang awam berhubung projek dan program yang dianggap kritikal bagi kemajuan setempat. Semua maklum balas ini akan disalurkan kepada kementerian berkaitan untuk pertimbangan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan kini sedang membangunkan sistem MyRMK bagi memperkukuh pemantauan terhadap pelaksanaan strategi dan inisiatif di bawah RMK13.

“Semua kementerian akan melaporkan pencapaian inisiatif RMK13 setiap suku tahun melalui sistem MyRMK, manakala pemantauan projek akan menggunakan sistem sedia ada iaitu MyProjek bagi menilai kemajuan pelaksanaan di peringkat kementerian dan negeri.

“Perhatian khusus turut diberikan kepada projek yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN