KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama pelancongan, ekonomi dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bukan sahaja selari dasar kerajaan, malah turut menerima sokongan dan pengiktirafan daripada beberapa negara Islam yang mencadangkan agar Malaysia menerajui inisiatif memperkasa sektor ini secara menyeluruh.
“Saya setuju dan selari dengan keputusan kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan, ekonomi dan kewangan Islam.
“Semalam saya berada di Bank Negara dan melihat kemajuan serta beberapa langkah yang sedang diambil. Ini dianggap sebagai suatu permulaan yang baik.
“Saya setuju dan selari dengan keputusan kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pelancongan ekonomi dan kewangan Islam. Semalam saya di Bank Negara dan melihat tentang kemajuan dan beberapa langkah kita itu akan dianggap sebagai suatu permulaan.
“Dan ada cadangan daripada negara Islam, supaya Malaysia mengepalai usaha untuk meningkatkan program, instrumen kewangan Islam dan ekonomi dan bersama dengan pelancongan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta Perdana Menteri menjelaskan adakah kerajaan bercadang memansuhkan Islamic Tourism Center di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atas nama rasionalisasi agensi sedangkan ia telah pun terbukti memberikan impak di peringkat antarabangsa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut meminta kementerian berkenaan memberi keutamaan penuh dalam pembangunan dan pelaksanaan program pelancongan yang mesra keluarga serta berteraskan nilai Islamik.
“Jadi maknanya sesuai dengan keluarga dan lebih mesra dan tidak terlibat dengan beberapa hal yang sama ada haram atau syubhah.
“Jadi ini dilakukan oleh beberapa negara, saya lihat misalnya di Turki ada, ada beberapa negara arab yang lain, Qatar ada, di mana diadakan beberapa program khas,” katanya.
Mengulas mengenai jawatan Ketua Pengarah Islamic Tourism Center masih lagi belum diisi, Anwar berkata ia akan diputuskan dalam masa terdekat. – UTUSAN










