KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang memperkemas kawal selia terhadap produk vape terutamanya dari segi kandungan serta edarannya bagi memastikan tiada bahan terlarang disalahgunakan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu dilihat wajar memandangkan penyalahgunaan vape yang mengandungi dadah kini semakin membimbangkan.
Kata beliau, pihak berkuasa khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat cadangan mengharamkan penggunaan vape secara menyeluruh di negara ini sebagai langkah tegas membendung penyalahgunaan dadah menerusi peranti elektronik.
“Jabatan Siasatan Jenayah akan menyokong cadangan larangan penjualan vape di negara ini sebagai antara usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi peranti elektronik.
“Kerjasama masyarakat juga amat penting bagi menyalurkan maklumat berkaitan penjualan dan penyalahgunaan vape mengandungi dadah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik cadangan pelbagai pihak supaya lebih banyak program pencegahan dan rawatan diperhebatkan bagi menangani masalah penyalahgunaan bahan itu.
“Melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pelbagai inisiatif sedang digerakkan, khususnya bersama PDRM dalam membendung penyalahgunaan dadah dan vape.
“KDN turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperkukuh strategi membanteras isu penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan terlarang,” katanya.
Menurut beliau, antara contoh kerjasama bersepadu itu ialah mesyuarat yang diadakan pada 3 Julai lalu antara PDRM dan Bahagian Kawalan Penyakit KKM yang dipengerusikan sendiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Sementara itu, menjawab soalan asal, Shamsul Anuar memaklumkan, trend penyalahgunaan dadah menunjukkan peningkatan ketara tahun lalu dengan 192,857 individu dikesan menyalahgunakan dadah berbanding 145,526 individu pada 2023, peningkatan sebanyak 32.5 peratus.-UTUSAN










