KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini menuntut kerajaan menjelaskan secara telus butiran perjanjian dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak berkaitan kedudukan Petronas serta Petroleum Sarawak Bhd. (Petros).
Beliau dalam masa yang sama turut mendesak supaya jumlah dividen yang telah disumbangkan Petronas kepada Kerajaan Persekutuan bagi tahun kewangan 2024 didedahkan.
“Ini bukan isu Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ia membabitkan wang rakyat dan masa depan negara.
“Petronas bukan syarikat biasa, ia ibarat angsa bertelur emas yang menyumbang kepada kemakmuran semua negeri dan wilayah” katanya semasa sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara LK 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hassan lagi, perkembangan semasa melibatkan kes mahkamah antara Petronas dan Petros di Mahkamah Tinggi Kuching menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan Petronas sebagai aset strategik negara.
“Ini bukan soal undang-undang sahaja. Jika tidak diurus dengan bijak, ia boleh jejaskan kedudukan Petronas.
“Sekarang pun dah sampai ke mahkamah. Macam adik-beradik dalam satu keluarga bergaduh, dan ini memberi isyarat yang tidak baik,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan mempersoalkan perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak yang hanya melibatkan Anwar serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg tanpa sebarang pembentangan atau taklimat kepada Parlimen.
“Parlimen yang meluluskan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, maka Parlimen juga berhak tahu isi kandungan mana-mana perjanjian yang melibatkan Petronas. Ia bukan hak eksklusif dua pihak sahaja,” tegasnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu mengutamakan kelangsungan Petronas sebagai syarikat milik negara dan memastikan keputusan strategik dibuat secara inklusif dan berpaksikan kepentingan nasional.-UTUSAN










