KUALA LUMPUR: Hanya 23.9 peratus atau 3.23 juta orang daripada keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur antara 18 hingga 55 tahun berjaya mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM240,000 pada usia 55 tahun, setakat 31 Ogos 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peratusan yang rendah itu banyak dipengaruhi oleh faktor hampir separuh daripada jumlah ahli KWSP tidak lagi aktif mencarum sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk membina simpanan mencukupi bagi persaraan.
“Bagaimanapun, pencapaian dalam kalangan ahli aktif formal menunjukkan peningkatan positif, dengan 38.8 peratus berjaya mencapai tahap simpanan asas berbanding 30.4 peratus pada akhir 2022 selepas kesan pengeluaran khas berkaitan Covid-19 beransur pulih,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH–Tebrau) mengenai jumlah caruman dan bilangan pencarum KWSP terkini serta sejauh mana simpanan tersebut membolehkan rakyat Malaysia bersara dengan selesa berdasarkan jangka hayat semasa.
Menurut Hui Ying, situasi ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan pencarum berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk struktur gaji yang rendah, umur pengeluaran penuh (55 tahun) yang tidak selaras dengan umur persaraan sebenar, caruman tidak konsisten serta tahap celik kewangan yang masih rendah.
“Faktor-faktor ini menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat kurang menyedari kepentingan merancang kewangan dan menabung bagi menghadapi hari tua.
“Kerajaan melalui KWSP sedang melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang bagi menangani isu tersebut termasuk program pendidikan celik kewangan, penambahbaikan struktur caruman, serta inisiatif khas bagi golongan tidak aktif dan pekerja sektor tidak formal,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan ahli KWSP kini mencecah 16.5 juta orang dengan nilai simpanan sebanyak RM1.31 trilion setakat 31 Ogos 2025.
Katanya, jumlah itu meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada 2024 dan 20.8 peratus berbanding RM1.01 trilion pada 2023.
“Daripada jumlah itu, sembilan juta ahli atau 55 peratus merupakan ahli aktif dengan simpanan berjumlah RM1.07 trilion.
“Bagi ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun, seramai 7.46 juta orang direkodkan setakat Ogos 2025, dan daripada jumlah itu, 2.90 juta (38.9 peratus) berjaya mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
“KWSP akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan lebih ramai rakyat mencapai tahap simpanan mencukupi untuk persaraan yang selesa dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN










