KUALA LUMPUR: Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah meluluskan sebanyak 90,779 pemohon sejak 2008, dengan nilai pembiayaan keseluruhan mencecah RM21.5 billion.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 89.5 peratus terdiri daripada golongan anak muda berusia 40 tahun ke bawah, sekali gus menunjukkan keberkesanan skim itu dalam membantu pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda.
“Berdasarkan pecahan umur, 18 hingga 25 tahun melibatkan lebih 15,000 peminjam diluluskan, 26 hingga 30 tahun lebih 31,000 peminjam, 31 hingga 35 tahun 22,356 peminjam dan 36 hingga 40 tahun melibatkan 12,799 peminjam.
“Kerajaan komited memastikan golongan muda tidak terus tercicir daripada memiliki rumah. Dengan sokongan pembiayaan melalui SJKP, halangan seperti kekangan rekod kredit dapat diatasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH–Shah Alam) yang membangkitkan keperluan membantu golongan muda bekerja sendiri khususnya dalam ekonomi gig, yang sering berdepan kesukaran memiliki rumah kerana tiada rekod kewangan kukuh.
Aiman Athirah berkata, melalui Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, kerajaan telah meluluskan tambahan peruntukan RM20 bilion bagi meneruskan skim tersebut.
“Berdasarkan belanjawan yang kita akan luluskan bersama-sama, ada sejumlah 20 bilion lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan kerajaan menyediakan jaminan tambahan RM1 bilion khusus untuk penjawat awam lantikan kontrak, bagi memastikan mereka turut mendapat akses kepada pembiayaan perumahan yang lebih mudah.
“Insya-Allah, jika Belanjawan ini diluluskan, ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya anak muda, pekerja gig, dan mereka yang bekerja sendiri,” katanya.










