Pengemis meningkat, Akta Orang Papa disemak semula

Pengemis meningkat, Akta Orang Papa disemak semula

NANCY SHUKRI - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu akta baharu menggantikan Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) akan digubal berikutan perubahan cabaran sosial termasuk peningkatan pengemis, gelandangan dan keperluan penempatan khusus bagi golongan berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian sedang menyemak semula akta sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan selaras dengan peredaran zaman.

Katanya, antara perkara dipertimbangkan adalah penggubalan akta baharu yang mengambil kira isu masa kini termasuk peningkatan bilangan pengemis dan gelandangan serta ketiadaan penempatan khusus untuk gelandangan yang mengalami masalah mental.

“Kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-orang Papa 1977 bagi menyesuaikan pemakaiannya selaras dengan peredaran zaman agar ia kekal relevan.

“Antara perkara yang dipertimbangkan adalah menggubal satu akta baharu bagi menggantikan akta sedia ada, setelah mengambil kira pelbagai cabaran isu kompleks masa kini berkaitan peningkatan bilangan pengemis dan gelandangan, termasuk ketiadaan penempatan khusus untuk gelandangan dengan masalah mental.

“Fokus utama bertumpu kepada terma semasa, menyelaraskan punca kuasa agensi berkaitan, mewujudkan mekanisme tadbir urus yang jelas serta mengimbangi aspek intervensi pemulihan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berkenaan jumlah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang direkodkan sebagai gelandangan atau hidup terbiar di kawasan bandar pada 2026.

Nancy berkata, pengambilan orang papa dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tindakan berkenaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya untuk melindungi dan memulihkan mereka.

Katanya, JKM menjalankan operasi secara berjadual, bersepadu dan ad hoc (khusus) berdasarkan aduan orang awam bersama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Berdasarkan rekod JKM, seramai 206 warga emas telah diambil di seluruh negara di bawah Seksyen 3 (1) Akta 183 bagi tempoh Januari hingga April 2026.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 48 kes membabitkan Kuala Lumpur manakala tiada maklumat direkodkan bagi OKU yang diambil di bawah akta ini dalam tempoh sama,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN